TINDAKAN sesetengah agensi umrah membolot tiket penerbangan disediakan syarikat penerbangan tempatan untuk ke Tanah Suci mendapat kecaman ramai.
Masakan tidak, aktiviti ulat tiket itu sudah semestinya menjadi punca kenaikan mendadak kos mengerjakan umrah.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham dilapor berkata, mengikut harga semasa, tiket penerbangan umrah hanya sekitar RM2,700 hingga RM2,800 tetapi dijual semula oleh agensi terbabit sekitar RM4,800 hingga RM5,000.
Memetik laporan media tempatan, ada bakal jemaah terpaksa mengatur semula perjalanan berikutan pembatalan pada saat akhir, selain terbeban apabila perlu membayar kos tambahan mencecah ribuan ringgit.
Berdepan kemungkinan kos meningkat sehingga 200 peratus, jemaah mengakui tiada pilihan kerana syarikat pengendali umrah lain turut mengambil langkah sama menaikkan harga pakej.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial meluahkan perasaan was-was untuk memilih agensi pelancongan ketika ini.
Airee Suhair berkata: "Nak pergi sendiri tak reti dan tak pandai dalam hukum hakam. Sebab itu ada yang pilih pergi umrah DIY. Tapi kalau pandai hukum hakam tak apa. Ni ada yg pergi sendiri lepas tu langgar pantang dalam ihram. Tak bayar dam.
"Balik Malaysia tak sedar yang masih dalam ihram. Banyak kesan di situ. Dah banyak kes berlaku sebenarnya tanpa sedar."
Suzana Sharif berkata: "Kasihan dekat jemaah. Agak-agaklah agensi pelancongan. Semua orang nak untung tetapi berpada-pada. Lakukan tanggungjawab sosial anda. Kami bukan golongan bangsawan yang tidak kisah jika kos RM20,000 pun. Level kami nak lepas RM8,500 pun sakit."
Ramly Samakon menambah: "Ini dinamakan ulat bulu tiket niaga atas angin modal beli tiket dengan harga murah jual balik dengan harga mahal. Menteri ekonomi di mana perginya tak buat siasatan kalau dibiarkan perkara seperti ini berlarutan rakyat yang jadi mangsa selamanya."
Tulis Ismail Werdani: "Jangan biarkan aktiviti ulat tiket berterusan. Pihak berwajib perlu bertindak bijak supaya tak ada orang yang teraniaya disebabkan orang lain nak cari untung atas angin tapi menyusahkan orang yang nak baramal ibadat." — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram