BARU-BARU ini kecoh di media sosial berkaitan dengan kehilangan seorang guru, Musthafa Kamal Abdullah, 49 yang dilaporkan hilang di Mekah pada 12 Disember tahun lalu.
Sehingga kini, Musthafa belum lagi ditemukan dan anak sulungnya, Muhammad Nabil juga sudah berangkat ke Tanah Suci pada Jumaat lalu selama 14 hari untuk mencari ayahnya.
Namun, sehingga kini tiada perkhabaran terbaharu berkaitan kehilangan Musthafa yang turut mendapat perhatian Kementerian Luar.
Untuk rekod, ini bukan kehilangan pertama rakyat Malaysia di Tanah Suci malah ada yang selamat ditemukan walaupun sudah hilang selama beberapa hari.
Berikut Majoriti senaraikan tiga kes kehilangan rakyat tempatan di Mekah yang berjaya ditemukan dalam keadaan selamat.
Nor Azimah kembali ke Malaysia selepas setahun hilang di Madinah.
Ditemukan selepas hilang setahun
Nor Azimah Ibrahim merupakan jemaah umrah negara yang hilang sejak 19 Disember 2015 di Madinah dan ditemukan selamat selepas setahun.
Pada 2015, Nor Azimah berlepas ke Tanah Suci bersama ibu bapanya untuk mengerjakan umrah pada tarikh 11 Disember.
Namun pada hari kejadian, Nor Azimah tidak mengikuti ibu bapanya ziarah ke tempat bersejarah di Madinah kerana mahu menumpukan ibadat di masjid sebelum hilang.
Nor Azimah ditemui pada 13 Disember lalu selepas pejabat konsul dihubungi pihak berkuasa Arab Saudi.
Bagaimanapun wanita itu memilih untuk berdiam diri dan tidak menceritakan bagaimana dirinya boleh hilang selama setahun.
Abdul Muluk (dua dari kiri) selamat ditemukan selepas hilang selama tiga hari. — Bernama
Hilang ketika kejadian runtuhan kren di Masjidil Haram
Abdul Muluk Ishak, 71, dilaporkan hilang dalam kejadian runtuhan kren di Masjidil Haram, Makkah pada 11 September 2015.
Abdul Muluk bagaimanapun ditemukan selamat selepas dilaporkan tersasar ke hotel jemaah Thailand sebelum dihantar semula ke pejabat agensi pengurusan haji tempatan pada tiga hari selepas itu.
Diminta menceritakan kembali saat kehilangannya ketika kejadian kren tumbang, Abdul Muluk yang dikatakan seorang pelupa, menyatakan tidak dapat mengingati mengapa dia mengikuti kumpulan jemaah Thailand untuk makan dan minum bersama tanpa menyedari kehilangannya menimbulkan kebimbangan banyak pihak.
"Kita biasalah seronok orang ajak makan dan minum sebab mereka tengok saya seorang. Selepas itu ada orang kita (Malaysia) bawa saya kembali ke tempat penginapan jemaah Malaysia," katanya.
Syed Nabil Athrash Syed Ahmad (kiri) yang berjaya menemukan Pak Ibrahim.
Hilang 10 hari, tidur di tepi tembok
Ibrahim Omar atau lebih dikenali dengan nama Pak Ibrahim hilang selama 10 hari sebelum ditemukan selamat oleh seorang mutawif tempatan di tepi tembok berhampiran hotel Makkah Tower.
Pak Ibrahim mengerjakan umrah bersama emaknya dan ibu saudara pada 20 November tahun lalu sebelum dilaporkan hilang pada 2 Disember.
Ketika ditemukan, Pak Ibrahim ditemukan dalam keadaan baik dan tidur di tempat burung merpati berkumpul.
Pak Ibrahim memaklumkan yang dia sentiasa memakai tag perjalanan tetapi tidak terjumpa dengan jemaah Malaysia.
Dia juga tidak berputus asa dan teruskan berjalan untuk mencari rakyat Malaysia dan hanya berhenti bila penat serta tidur di mana-mana sahaja. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram