SEORANG remaja ditemukan lemas, manakala rakannya masih hilang, ketika mereka mandi-manda di Pantai Batu Layar dekat Bayu Damai di Kota Tinggi, Johor pada Ahad petang.
Dalam kejadian pukul 1.26 tengah hari itu, Mohamad Imran Mohd Nazir, 17, ditemui lemas, manakala Hani Suefyan Hanizam, 16, masih belum ditemui.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pukul 1.30 petang sebaik pihaknya menerima maklumat daripada orang awam.
"Ada dua mangsa sedang mandi-manda di lokasi kejadian, sebelum seorang mangsa ditemui oleh orang awam sebelum disahkan sudah meninggal dunia akibat lemas.
"Operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan bagi mengesan seorang lagi mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Hussin berkata, operasi mencari dan menyelamat dijalankan bomba dengan kerjasama pelbagai agensi lain, selain bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) membuat rondaan di perairan.
"Pencarian yang masih berjalan, mungkin terpaksa ditangguhkan lewat petang ini bergantung keadaan cuaca, " katanya.
Difahamkan, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai, Mohd Khairul Sufian Dahari berkata, pasukan penyelamat kini membuat pencarian di permukaan dalam radius 500 meter dari lokasi mangsa dipercayai lemas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram