Kes budak lemas di kolam Labuan tiada unsur jenayah, khianat


  • 112
  • Sabtu, 21 Jan 2023

Ketua polis Labuan, Ahmad Jawahil.

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang sedang bercuti bersama keluarganya ditemukan lemas di dalam kolam renang sebuah vila di Labuan pada Sabtu.

Ketua Polis Labuan, Superitendan Ahmad Jawila berkata, kejadian itu disedari sekumpulan kanak-kanak yang ternampak mangsa dalam keadaan tidak sedar diri di dalam air.

"Kami menerima laporan pada pukul 8.05 pagi mengenai insiden berkenaan dan berdasarkan laporan diterima, mangsa sedang berenang di dalam kolam itu bersama kanak-kanak lain dengan ibunya memantau dari sebelah kolam itu berhadapan vila.

"Apabila ibunya mengarahkan kumpulan kanak-kanak berkenaan supaya pulang ke vila (selepas berada di dalam kolam renang itu kira-kira 15 minit), dia mendapatinya anaknya tiada bersama-sama kanak-kanak lain dan kemudian terdengar jeritan daripada kanak-kanak berkenaan mengenai penemuan anak wanita tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ahmad berkata, mereka menarik keluar mangsa daripada kolam itu dan memberikan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) tetapi tidak berjaya menyelamatkannya.

"Daripada pemerhatian awal dan pemeriksaan di lokasi, kami tidak mendapati sebarang unsur-unsur jenayah atau perbuatan khianat dan mayat dihantar ke Hospital Labuan untuk pemeriksaan selanjutnya,” kata beliau.

Ahmad mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan memantau rapi aktiviti anak-anak mereka semasa cuti sekolah dan musim perayaan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Lemas, Labuan, Kanak-kanak, Sabah, Vila, Percutian, Ibu