Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa gembira kembali merayakan sambutan Tahun Baharu Cina bersama MCA selepas lebih 25 tahun.
Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong kerana menjemput dirinya ke majlis sambutan tersebut.
"MCA adalah kawan lama dan persahabatan itu kekal walaupun berbeza parti dan pandangan dari semasa ke semasa dan kini kami kembali bersama," katanya kepada media di Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina MCA di Wisma MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada Ahad.
Tambah Anwar lagi, kini terdapat persamaan antara kedua-duanya dan keutamaan mereka adalah ekonomi dan pembangunan.
Ini adalah kali pertama Anwar menghadiri acara itu sejak dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada 1998.
Anwar, berbaju batik merah dilihat tiba di perkarangan Wisma MCA pada pukul 9.25 pagi dan kedatangannya disambut oleh Dr Wee, timbalan presiden parti, Datuk Dr Mah Han Soon, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon dan pemimpin tertinggi parti yang lain
Beliau turut ditemani isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Turut Hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Tiong King Sing , timbalan presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan serta pemimpin Pakatan Harapan yang lain termasuk Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Para tetamu dijamu dengan persembahan tarian singa di pintu masuk ibu pejabat parti. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram