'Doktor' edar dadah di Johor ditahan bersama 5 rakan penjenayah termasuk remaja 17 tahun


  • 112
  • Ahad, 22 Jan 2023

Polis turut  menahan 72 individu lain kerana berhibur di pusat hiburan tidak berlesen dan pelbagai kesalahan lain.

POLIS menahan seorang lelaki warga asing berusia 32 tahun dan merampas dadah bernilai lebih RM250,000 dalam beberapa siri serbuan di pusat hiburan di Kluang dan Batu Pahat.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek yang digelar "Doktor" dipercayai menjadi pembekal dadah kepada pusat hiburan berkenaan.

“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) melakukan tiga serbuan di pusat hiburan bermula 1 pagi hingga 3 pagi Sabtu.

“Polis berjaya menahan ‘Doktor’ serta dua lagi lelaki tempatan berusia 25 dan 33 tahun yang kami percaya rakan sejenayah suspek.

“Berdasarkan soal siasat, kami berjaya menahan tiga lagi lelaki tempatan berusia 17 dan 33 tahun serta pelbagai jenis dadah dalam serbuan sama,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambah beliau lagi, selain enam suspek ini, polis turut menahan 72 individu lain kerana berhibur di pusat hiburan tidak berlesen dan pelbagai kesalahan lain.

“Kesemua tangkapan terdiri daripada 55 lelaki tempatan, 15 wanita tempatan, tiga lelaki warga asing dan lima wanita warga asing. Kesemuanya berumur antara 16 hingga 68 tahun,” katanya.

Ujian air kencing juga mendapati 68 daripada mereka didapati positif tetrahydrocannabinol (THC), methamphetamine, dan ketamin.

Kesemua suspek kini ditahan reman selama enam hari sehingga 26 Januari bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2), dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah, memiliki dan mengambil dadah.

Kes juga disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 masih berada dalam negara ini selepas tempoh pas lawatan tamat atau dibatalkan.

Pemilik pusat hiburan berkenaan akan turut disiasat mengikut Seksyen 6(2) dan 11(2) Enakmen Tempat Hiburan Johor kerana beroperasi tanpa lesen dan mengendalikan pusat hiburan melebihi masa yang dibenarkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram