PCCC bakal anjurkan rumah terbuka Tahun Baharu Cina pada 4 Februari


  • Massa
  • Sabtu, 21 Jan 2023

PCCC mengumumkan penganjuran rumah terbuka selepas kali terakhir mengadakannya pada 2020.

SELEPAS hampir dua tahun menyambut perayaan Tahun Baharu Cina secara sederhana, Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC) bakal adakan rumah terbuka sekali lagi.

Presidennya, Datuk Seri Hong Yeam Wah berkata, sambutan tersebut akan diadakan pada 4 Februari dari pukul 11 pagi hingga 1 petang di Dewan Lim Lean Teng yang bertempat di Sekolah Menengah Han Chiang, Pulau Pinang.

Kali terakhir persatuan itu menganjurkan rumah terbuka ialah pada 2020 yang ketika itu turut dihadiri bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Pengerusi penganjuran, Datuk Seri Choot Ewe Seng berkata, seramai 2,000 tetamu bakal dijemput tahun ini daripada seluruh negara.

"Ketua Menteri Penang, Chow Kon Yeow, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Law Choo Kiang, menteri, Exco negeri dan diplomat luar negara dijangka akan bersama kami.

"Kami juga sudah memberi jemputan kepada rakan sejawat daripada dewan perniagaan berbeza, ahli-ahli PCCC dan lain-lain daripada 50 syarikat yang berada di bawah persatuan kami," katanya.

Kata Ewe Seng, makanan dalam bentuk bufet akan disediakan kepada tetamu di samping turut memberikan persembahan tradisional bersempena rumah terbuka itu.

"Kami juga akan memberi sumbangan kepada beberapa persatuan yang bertapak di Penang pada hari tersebut," katanya, yang juga merupakan penasihat eksekutif PCCC. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram