Mayat pelajar IPTA ditemui lemas tertiarap di Pantai Cherating


  • 112
  • Ahad, 08 Jan 2023

Pasukan Bomba memulakan operasi SAR di sekitar tempat kejadian sejurus tiba.  —  JBPM

SEORANG pelajar universiti awam yang dilaporkan hilang semasa mandi di Pantai Cherating di Kuantan, Pahang pada Sabtu, ditemukan lemas pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mayat Adam Ridhuan Abdul Rejab, 18, ditemukan dalam keadaan tertiarap oleh sepasang suami isteri yang sedang beriadah di pantai itu pada pukul 7 pagi, kira-kira 8.6 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Beliau dalam kenyataan pada Ahad berkata, mayat telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan untuk bedah siasat, dan ahli keluarga pelajar itu yang tiba di hospital berkenaan telah mengesahkan identiti mangsa.

Pelajar yang berasal dari Sri Kembangan, Selangor itu dilaporkan hilang sekitar pukul 1.45 tengah hari pada Sabtu, semasa menyertai permainan membuat bulatan di dalam air kira-kira 300 meter dari pantai, apabila dia dilihat dibawa arus ke kawasan yang lebih dalam sebelum hilang dari pandangan.

Arwah dikatakan ke pantai itu bersama 19 lagi rakannya untuk berkelah dan berehat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

polis, lemas, kecemasan, mayat, berkelah