Kafe bakeri terkemuka Korea Selatan terokai pasaran Malaysia 


  • Bizz
  • Sabtu, 21 Jan 2023

(Dari kiri) Presiden Kumpulan SPC Hur Jin Su, Quays, Vincent, Salahuddin, Timbalan Pengerusi Berjaya Corporation Berhad Datuk Seri Robin Tan dan Yeo hadir pada majlis pelancaran itu.

SYARIKAT bakeri berpangkalan di Korea Selatan, Paris Baguette mengorak langkah membuka cawangan pertamanya di Pavilion, di ibu negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Food Berhad, Datuk Sydney Quays berkata, premis dengan kos RM2 juta itu merupakan permulaan kepada lebih banyak cawangan kafe bakeri pada masa depan.

"Kami sangat teruja dengan pembukaan premis Paris Baguette di Malaysia, selain menjadi pengendali utama jenama rantaian kedai roti pertama dari Korea Selatan di negara ini.

"Saya juga percaya produk Paris Baguette mempunyai kelainan tersendiri," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian yang berlangsung baru-baru ini.

Turut hadir Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub; Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd. Yusof; Duta Korea Selatan ke Malaysia, Yoo Seung Bae; Pengerusi Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif Star Media Group, Alex Yeow Wai Siaw.

Beliau juga menekankan aspek harga berpatutan yang ditawarkan kepada masyarakat tempatan dengan pelbagai menu pastri berkualiti.

Sementara itu, Salahuddin berkata, hasil kerjasama Berjaya Food Berhad dan Paris Baguette itu diharap dapat menarik syarikat asing lain membuka perniaagaan di negara ini.

"KPDN mengalu-alukan lebih banyak syarikat untuk membuka perniagaan mereka di Malaysia.

"Secara tidak langsung, ia juga akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan kita," ujarnya.

Paris Baguette merupakan rantaian kedai roti antarabangsa yang ditubuhkan pada tahun 1988 berpangkalan di Korea Selatan.

Sejak itu, jenama berkenaan berkembang menjadi bakeri nombor satu di negara K-pop itu. Kini, syarikat itu mempunyai 4,000 cawangan termasuk di Amerika Syarikat, China, Perancis, Kanada dan Asia Tenggara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram