Ketukan dalam kontena di Pelabuhan Klang bongkar penemuan budak lelaki


  • Tular
  • Jumaat, 20 Jan 2023

Tangkap layar penemuan kanak-kanak itu tular di media sosial selepas dipercayai terkunci di dalam kontena berkenaan selama enam hari.

BUNYI ketukan menjadi alat seorang kanak-kanak lelaki warga Bangladesh untuk meminta tolong selepas terperangkap di dalam kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang di Klang, Selangor pada Rabu.

Difahamkan kontena itu baharu tiba dari sebuah kapal yang berlepas dari pelabuhan di Bangladesh pada 13 Januari lalu.

Memetik laporan Berita Harian, anggota Polis Bantuan Pelabuhan mendengar bunyi ketukan dari kontena tersebut sebelum mereka mengesahkan terdapat seorang budak lelaki di situ.

Menerusi video berdurasi 31 saat itu, kanak-kanak tersebut kelihatan lemah ketika keluar dari kontena berkenaan kerana sudah terkunci kira-kira enam hari.

Berdasarkan siasatan awal, pihak berkuasa mendapati kanak-kanak itu dipercayai tertidur di dalam kontena dan tidak menyedari ia diangkut ke dalam kapal dan berlepas dari pelabuhan.

Kanak-kanak terbabit kemudian dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan turut menjalani proses dokumentasi.

Sumber turut memaklumkan bahawa kanak-kanak itu sudah dihantar pulang ke negara asal menggunakan kapal sama pada Khamis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram