Kesihatan budak lelaki Bangladesh stabil, mengaku leka bermain punca terperangkap dalam kontena


  • 112
  • Jumaat, 20 Jan 2023

Tangkap layar daripada video yang tersebar dalam media sosial memaparkan seorang remaja lelaki terperangkap dalam sebuah kontena selama enam hari ditemukan dekat dermaga di Pelabuhan Barat, Pulau Indah, di Klang, Selangor.

LEKA bermain dengan rakan-rakan menjadi punca seorang kanak-kanak lelaki warga Bangladesh terperangkap dalam kontena sebelum diselamatkan oleh pihak Polis Bantuan di Pelabuhan Barat di Klang, Selangor pada Selasa.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, sambil menambah bahawa tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu.

"Berdasarkan keterangan daripada mangsa menjelaskan semasa bermain bersama kawan di Bangladesh, dia telah masuk ke dalam kontena dan terkunci.

"Kita telah merujuk kes itu kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk menguruskan dokumen mangsa serta penghantaran pulang dengan menggunakan kapal kargo yang sama," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada pukul 1.53 petang, Rabu, pihak polis menerima laporan menyatakan bahawa seorang budak lelaki warga asing ditemui di dalam kontena berkenaan sekitar.

Menurut Hoong Fong, laporan itu dilakukan oleh seorang lelaki yang juga pekerja operasi perkapalan.

Tambahnya, dalam kejadian pada pukul 9 malam, Selasa, semasa pengadu menguruskan kapal masuk di Dermaga Pelabuhan Barat serta pemeriksaan sebuah kontena mendapati seorang kanak-kanak lelaki warga asing berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya.

"Semakan ke atas mangsa mendapati tiada sebarang identiti pengenalan diri. Siasatan lanjut mendapati sebuah kapal telah bertolak dari Chittagong, Bangladesh pada 12 Januari lalu dengan membawa kontena yang mengandungi muatan barangan am dan tiba di Pelabuhan Barat pada Selasa," katanya.

Beliau berkata, mangsa dipercayai telah masuk secara haram ke dalam kontena ketika kapal berlabuh di Chittangong, Bangladesh.

"Rawatan telah dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang ke atas mangsa dan doktor mengesahkan mangsa dalam keadaan stabil," katanya.

Majoriti sebelum ini melaporkan anggota Polis Bantuan Pelabuhan menyelamatkan budak lelaki selepas mendengar bunyi ketukan dari kontena tersebut.

Menerusi video berdurasi 31 saat itu, kanak-kanak tersebut kelihatan lemah ketika keluar dari kontena berkenaan kerana sudah terkunci kira-kira enam hari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram