Bukan imigresen, agensi tunggal kawal selia pintu masuk negara kini di fasa akhir


  • Primer
  • Jumaat, 20 Jan 2023

Saifuddin Nasution berkata, kerajaan sedang memperhalusi penubuhan agensi kawalan sempadan tunggal.

MALAYSIA akan mempunyai sebuah agensi tunggal yang mana ia berkuasa sepenuhnya terhadap kawal selia sempadan negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan sedang memperhalusi penubuhan agensi kawalan sempadan tunggal.

Menurutnya, idea penubuhan agensi itu sudah dimulakan pada 2018.

“Apabila bercakap mengenai isu sempadan, orang akan fikir tentang Jabatan Imigresen tetapi terdapat lebih 20 agensi terlibat dan sukar untuk mengingati setiap satu.

“Jika kita berjaya mewujudkan satu agensi sempadan yang menyatukan semua fungsi mereka, menggunakan teknologi terkini dan tanpa menjejaskan keselamatan, ini adalah cara yang betul,” katanya di Johor Bahru, Johor pada Jumaat.

Saifuddin Nasution ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa penyelarasan keputusan kesesakan Tambak di Johor Bahru.

Beliau berkata kerajaan sedang mengkaji contoh dan amalan terbaik dari negara yang mempunyai agensi kawalan sempadan tunggal seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, New Zealand, Kanada dan Singapura.

Ketika ditanya mengenai garis masa, beliau berkata, ia akan dibuat secepat mungkin. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram