CCTV tidak membantu, polis rakam keterangan 3 saksi utama kes RM109,000 duit sekolah Semenyih lesap


  • 112
  • Khamis, 19 Jan 2023

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi.

POLIS sudah merekodkan keterangan daripada tiga individu berhubung kes samun wang dana bantuan persekolahan bernilai RM109,000 di Semenyih, Selangor baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, dua daripada indivdu yang disoal siasat merupakan petugas di sekolah berkenaan sementara seorang lagi merupakan pekerja restoran.

"Kami sudah merakam keterangan daripada tiga individu berhubung siasatan kes. Selain itu, kami akan hubungi semula pihak pengurusan bank untuk membantu siasatan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Sungai Buloh, Selangor pada Khamis.

Tambah beliau, pihak polis juga sudah mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, namun masih belum menemui sebarang petunjuk setakat ini.

Pada Isnin, polis melaporkan wang bantuan persekolahan bernilai RM109,000 lesap apabila guru besar sebuah sekolah di Semenyih singgah untuk membeli minuman di sebuah restoran.

Menurut siasatan awal, mangsa didapati baru sahaja pulang daripada mengeluarkan wang tersebut daripada sebuah bank di Kampung Baru Semenyih kira-kira jam 10 pagi. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram