SEORANG lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka pada Khamis atas pertuduhan memukul bapanya menggunakan topi keledar.
C. Kaviarasan, 27, didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap bapanya, S. Chandran, 58, di sebuah rumah di Jalan Seri Emas 15, Taman Seri Telok Emas pada pukul tujuh pagi bersamaan 12 Januari lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A seksyen sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam, memohon jaminan dikurangkan kerana ia merupakan kesalahan pertamanya.
Hakim Darmafikri Abu Adam membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis selain tidak mendekati mangsa.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 22 Februari depan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram