Anggap Speaker Dewan Rakyat terkhilaf, Bersatu bawa isu 4 MP Sabah lompat parti ke mahkamah


  • Politik
  • Selasa, 17 Jan 2023

Muhyiddin mahu membawa isu kekhilafan Speaker Dewan Rakyat berkaitan status empat ahli Parlimen Sabah ke Mahkamah.

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan membawa keputusan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkaitan status kekosongan empat kerusi Parlimen yang dimenangi bekas ahli parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu ke mahkamah.

Presidennya, Tan Sri Mujyiddin Yassin berkata, kesemua empat kerusi ahli Parlimen itu bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

"Ini kerana Yang Dipertua Dewan Rakyat didakwa telah membuat tafsiran khilaf berkenaan Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan.

"Memandangkan kuasa mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang terletak pada mahkamah, maka Bersatu akan merujuk perkara ini ke mahkamah supaya keluhuran undang-undang sentiasa terpelihara.

"Saya percaya mahkamah adalah tempat yang sesuai untuk mendapatkan keadilan dalam hal ini memandangkan Yang Dipertua Dewan Rakyat daripada Pakatan Harapan (PH) adalah pihak yang berkepentingan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Muhyiddin berkata, dakwaan Johari terkhilaf dalam membuat tafsiran Perlembagaan parti dan dengan itu keputusannya juga bersifat sedemikian.

Jelasnya, menerusi Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu, Yang Dipertua Dewan Rakyat mendapati keahlian mereka dalam Bersatu telah gugur serta-merta pada waktu itu, iaitu sebelum mereka bertanding dalam PRU15 pada 19 November 2022.

"Yang Dipertua Dewan Rakyat bukanlah pihak yang mempunyai kuasa untuk mentafsir Perlembagaan Bersatu.

"Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu menyatakan seorang ahli gugur keahliannya secara serta-merta apabila menyertai mana-mana parti politik lain.

"Fasal ini tidak terpakai kepada empat Ahli Dewan Rakyat tersebut kerana mereka adalah ahli Bersatu dan Bersatu adalah pengasas serta parti komponen GRS pada masa itu.

"Justeru, GRS tidak boleh ditafsirkan sebagai ‘parti politik lain’ mengikut semangat dan intipati Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu," katanya.

Ujarnya lagi, surat daripada Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Sabah bertarikh 3 November 2022 jelas menyenaraikan empat Ahli Dewan Rakyat tersebut adalah calon GRS daripada Bersatu.

Katanya, ini bermakna penyertaan mereka sebagai ahli GRS tidak menjejaskan keahlian mereka dalam Bersatu ketika mereka bertanding dalam PRU15 yang lalu.

"Surat tersebut telah diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk membantu beliau membuat keputusan.

"Jika terdapat perselisihan dalam mentafsir Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu, Fasal 27 Perlembagaan Bersatu memperuntukkan kuasa untuk memberikan tafsiran yang muktamad terletak pada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu," katanya.

Jelasnya, MPT Bersatu boleh menentukan sama ada empat Ahli Dewan Rakyat tersebut telah gugur keahlian mereka serta-merta apabila mereka menyertai GRS.

Tambahnya, Yang Dipertua Dewan Rakyat membuat keputusannya berdasarkan tafsiran beliau mengenai Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu.

"Oleh kerana beliau tidak mempunyai kuasa untuk mentafsir Perlembagaan Bersatu, keputusannya bahawa empat Ahli Dewan Rakyat berkenaan tidak perlu mengosongkan kerusi mereka adalah terkhilaf," katanya.

Tambahnya, fakta juga jelas menunjukkan bahawa mantan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor hanya mengisytiharkan keluar parti pada 10 Disember 2022.

"Tindakan menyeberang lantai (crossing the floor) empat Ahli Dewan Rakyat berkenaan juga berlaku pada 19 Disember 2022. Kedua-dua perbuatan ini mengakibatkan keguguran keahlian mereka dalam Bersatu di bawah Perkara 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu selepas PRU15,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram