Anggap sistem isytihar harta selama ini 'sandiwara', PM arah pinda proses supaya lebih telus dan tepat


  • Primer
  • Selasa, 17 Jan 2023

Anwar semasa berucap dalam Majlis Dialog Belanjawan 2023 Membangun Malaysia Madani.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dia sedang bekerjasama dengan beberapa badan berkuasa lain, termasuk Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memastikan proses pengisytiharan harta menteri lebih telus.

Kata beliau, meskipun perkara itu sudah lama dipraktikkan sebelum ini, Anwar masih mempersoalkan sekiranya harta yang diisytiharkan benar-benar mencerminkan aset dimiliki seseorang.

"Pengisytiharan harta sebelum ini adalah sandiwara kerana mereka boleh mempunyai ratusan juta tetapi isytihar RM10 atau RM11 juta," kata beliau.

Anwar berkata demikian ketika satu sidang akhbar selepas Majlis Dialog Belanjawan 2023 Membangun Malaysia Madani di Kementerian Kewangan, Putrajaya pada Selasa.

Tambah beliau, satu parameter yang lebih jelas perlu dibangunkan berhubung perkara tersebut bagi memastikan proses di sebalik prosedur itu lebih telus.

"Apabila melihat kepada angka dalam fail, ia mengejutkan saya. Kebanyakan orang tidak bercakap benar. Ia menjadi bahan ejekan," kata beliau yang juga merupakan Menteri Kewangan.

Sebelum ini, ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri ketujuh pada 2018, beliau mengarahkan agar kesemua yang berada dalam Jemaah Menteri untuk mengisytiharkan harta.

Hal tersebut juga dilakukan Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun dipertingkatkan apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memegang jawatan tersebut pada 2021.

Ia kerana beliau turut mengarahkan anggota badan kehakiman serta pengarah eksekutif di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk mengisytiharkan harta masing-masing. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram