'Saya tak mahu bersaing, tak perlu lagi mercu tanda ikonik'


  • Primer
  • Selasa, 17 Jan 2023

Kata Anwar, dia tidak mahu bersaing dengan mana-mana mercu tanda yang ada ketika ini.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tiada mercu tanda yang akan dibina sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Ini kerana beliau berpendapat Kuala Lumpur sudah memiliki cukup banyak bangunan mercu tanda.

“Saya kata dah cukup mercu tanda (Petronas) Twin Tower, Tun Razak Exchange (TRX) yang ada. Bawah pentadbiran Anwar, saya tidak berhajat buat lagi mercu tanda.

"Zaman Anwar yang fikir perlu ialah menjana keupayaan kota, contoh daripada segi kebersihan, keindahan dan ruang kepada golongan penjaja dan warung yang cecah ratus ribu keseluruhan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Dialog Belanjawan 2023 “Membangun Malaysia Madani” di Kementerian Kewangan, Putrajaya pada Selasa.

Tambah Anwar, beliau yang juga merupakan Menteri Kewangan berkata, terdapat harapan daripada beliau untuk mendirikan 30 hingga 40 gerai peniaga kecil yang bersih untuk memberi manfaat kepada warga miskin di ibu kota.

“Saya juga berharap rakan-rakan dan syarikat-syarikat besar dan GLC faham tujuan ini dalam program tanggungjawab sosial korporat bagi membantu menjayakan usaha ini,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengambil keputusan untuk membubarkan portfolio Menteri Wilayah Persekutuan dengan tugas-tugas yang berada di bawahnya diletakkan di bawah kendalian Pejabat Perdana Menteri. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram