Nasib 4 Ahli Parlimen GRS diketahui Isnin — Johari


  • Politik
  • Ahad, 15 Jan 2023

Kata Johari, pengumuman itu akan dibuat menerusi pemberitahuan bertulis.

SPEAKER Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata, keputusan sama ada empat Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu mengosongkan kerusi atau sebaliknya selepas meninggalkan Bersatu akan diumumkan Isnin ini.

"Saya akan mengumumkan keputusannya esok (16 Januari)," katanya ringkas.

Katanya, minggu lalu, satu keputusan sedang berada dalam proses pembincangan terakhir mengenai nasib keempat-empat Ahli Parlimen tersebut menerusi satu pemberitahuan bertulis.

Kesemua mereka ialah Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) serta Matbali Musah (Sipitang).

Awal Disember lalu, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pemimpin Bersatu Sabah mengambil keputusan sebulat suara untuk keluar daripada parti, namun kekal di bawah gabungan tersebut.

Berikutan perkara itu, Johari turut mengesahkan bahawa notis rasmi sudah diterima daripada Naib Presiden Bersatu, Datuk Ronald Kiandee pada 27 Disember yang memaklumkan kekosongan empat kerusi berkenaan.

Kata Kiandee, keputusan kesemua Ahli Parlimen GRS yang berada di blok kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tindakan mengubah pendirian politik.

"Keanggotaan mereka di bawah Bersatu sudah terbatal berdasarkan perlembagaan parti. Mereka sepatutnya bukan lagi seorang Ahli Parlimen dan keempat-empat kerusi itu sepatutnya dikosongkan," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram