Caj 90 sen kepada warga asing guna bas percuma bukan satu penindasan — SSDU


  • Primer
  • Ahad, 15 Jan 2023

Warga asing akan dikenakan caj 90 sen untuk menggunakan pengangkutan awam percuma di Lembah Klang.

PERKHIDMATAN bas percuma, PJ City Bus dan Smart Selangor yang disediakan sekitar Lembah Klang perlu dilihat sebagai satu inisiatif eksklusif daripada kerajaan negeri kepada orang ramai.

Bagaimanapun, baru-baru ini, timbul perbincangan dalam kalangan pengguna apabila pihak pengurusan mengambil keputusan meminta bayaran sebanyak 90 sen daripada warga asing.

Menjawab akan hal itu, Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) dalam satu kenyataan menegaskan ia merupakan satu amalan yang sering dijalankan di beberapa negara lain.

"Langkah untuk mengecaj pengguna warga asing sebanyak 90 sen adalah satu kebiasaan oleh kerajaan di luar negara untuk membezakan hak dan keistimewaan penduduk yang layak menerima kemudahan tersebut," katanya.

Tambahnya, ia merupakan satu pendekatan yang boleh diperhatikan dalam mendapatkan khidmat perubatan, seperti di hospital yang tidak meminta bayaran daripada penduduk tempatan.

SSDU mengeluarkan kenyataan tersebut selepas segelintir badan bukan kerajaan (NGO) mendesak agar kerajaan negeri agar tidak mengenakan caj 90 sen terhadap warga asing bermula Ahad ini.

"Perkhidmatan bas Smart Selangor bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan selesa dan percuma kepada warga tempatan, terutamanya mereka yang tinggal di negeri ini.

"Caj 90 sen yang dikenakan ketika menggunakan PJ City Bus dan Smart Selangor bukanlah satu bentuk diskriminasi dan penindasan," katanya.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 15 peratus daripada pengguna pengangkutan awam terbabit ialah warga asing.

Dalam masa sama, SSDU mengingatkan bahawa wang yang diterima daripada caj berkenaan akan digunakan untuk tujuan penyelenggaraan dan kos pengoperasian. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram