PERHIMPUNAN Agung Umno (PAU) 2022 membuka tirai pada Rabu dengan perasmian persidangan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Ia merupakan Perhimpunan Agung pertama Umno sejak parti itu bekerjasama dengan seteru politiknya sebelum ini dan membentuk Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH).
Mohamad Hasan menerusi ucapan perasmiannya meninggalkan beberapa mesej mendalam kepada semua perwakilan untuk mengambil iktibar daripada kekalahan yang menjadi titik hitam kepada parti ketika Pilihan Raya Umum (PRU-15) baru-baru.
Beliau antara lain menyeru agar Umno perlu melupakan nasfu untuk berkuasa dalam usaha merawat, memulih dan membangunkan semula parti itu yang karam dalam kekalahan cukup menginsafkan selepas hilang keyakinan rakyat sejak PRU-12 lagi.
"Umno mesti melupakan, nafsunya untuk berkuasa dengan sebesar-besar kekuasaan. Umno hanya ada satu sahaja pilihan, iaitu membangunkan semula, keyakinan orang Melayu terhadapnya, dan menjadi wadah gerakan politik, amal dan bakti untuk bangsa Melayu," katanya.
Selain itu, berikut antara intipati penting yang disampaikan Mohamad Hasan dalam ucapan perasmian perhimpunan tiga sayap Umno sempena PAU 2022.
Mohamad Hasan berkata, kehilangan undi Melayu dan tiadanya undi bukan Melayu, adalah resipi kematian Umno. — Bernama
Perangi politik wang
Mohamad Hasan berkata, politik wang telah menjerumuskan Umno ke tahap sekarang yang bukan sahaja menyebabkan parti tewas, tetapi menjadikan parti semakin lemah dan tidak berketahanan.
"Kita mesti beriltizam untuk memerangi politik wang dan mematikannya.
"Kepada semua ahli Umno, sedarlah, politik wang adalah jelik, jijik dan sangat keji. Keji pada agama, keji pada adat, keji pada amalan.
"Umno kini hanya untuk mereka yang bersih, berjuang, dan mengasihi bangsanya. Kita mesti membunuh politik wang, sebelum politik wang membunuh Umno," katanya.
Terokai potensi politik
Mohamad Hasan atau mesra dengan panggilan Tok Mat juga mengajak ahli Umno meneroka, strategi lautan biru dan potensi politik bersesuaian dengan keadaan semasa termasuk mendapatkan sokongan bukan Melayu demi kelangsungan hayat parti.
Katanya, sokongan masyarakat bukan Melayu, merosot dengan amat drastik, semenjak beberapa PRU lepas sehingga dalam keadaan tertentu, Umno tewas kerana tidak mampu mendapat walau lima peratus sokongan daripada golongan berkenaan.
"Telah lama kita abaikan, undi golongan bukan Melayu ini. Jadi kita mesti meneroka, strategi lautan biru, jika kita ingin berkelangsungan.
"Kehilangan undi Melayu dan tiadanya undi bukan Melayu, adalah resipi kematian Umno.
"Oleh itu, kita mesti menyediakan diri kita, untuk bekerja dengan sesiapa sahaja. Pendekatan ‘biduk lalu kiambang bertaut’, mesti diambil, demi kesejahteraan rakyat, dan kestabilan negara," katanya.
Umno beriltizam tidak akan menjadikan senioriti atau usia sebagai aset mana-mana pemimpin Umno. — Umno Online
Membenarkan perubahan generasi
Usaha meremajakan parti kerap kali disebut sebagai wadah Umno untuk mendekati golongan muda, namun tidak banyak yang dibuat ke arah menggerakkan perkara itu.
Kali ini, Mohamad Hasan menegaskan agar Umno harus membenarkan berlakunya perubahan generasi atau generational change yang sangat diperlukan oleh parti berkenaan.
"Kita tidak akan menjadikan senioriti atau usia sebagai aset mana-mana pemimpin Umno.
"Kita akan membenarkan parti ini untuk benar-benar digerakkan secara bermakna oleh generasi semasa. Generasi yang lebih mengerti akan tuntutan dan keperluan terkini," jelasnya.
Beriltizam kembalikan keyakinan rakyat
Pada masa sama, beliau turut meminta semua ahli Umno untuk beriltizam merawat, memulih dan membangunkan semula Umno agar ia kembali diyakini oleh rakyat.
"Kepada ketua-ketua kabilah dalam Umno ini, ALLAH telah memberikan kamu peluang untuk menikmati kuasa, dan nikmat kesenangan melalui Umno.
"Sekarang adalah masa untuk memberi, maka marilah kita bersatu, dan bersama-sama, dalam memberi sebanyak-banyaknya kepada Umno.
"Kita hanya ada peluang ini. Kalau kita sia-siakan peluang ini, maka Umno akan ditalkinkan sedekad mendatang," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram