Selain hala tuju Umno, ini 3 insiden bersejarah sepanjang PAU


  • Politik
  • Khamis, 12 Jan 2023

Sesi perbahasan kali ini antara yang dinantikan akar umbi Umno yang ingin mengetahui hala tuju parti itu selepas PRU15.

PERHIMPUNAN Agung Umno (PAU) 2022 tahun ini dijangka dihiasi dengan pelbagai kontroversi terutamanya berkenaan dengan kedudukan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Banyak perkara yang menjadi tanda tanya apatah lagi PAU kali ini juga menjadi perhimpunan pertama Umno bersama gabungan parti politik yang sebelum ini merupakan musuh mereka.

Semestinya ucapan dasar presiden juga dinanti apatah lagi Umno kini sudah diibaratkan sebagai sebuah parti yang mengalami kecederaan parah selepas Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) berlalu.

Apa hala tuju Umno selepas ini perlu diperjelaskan Ahmad Zahid dan perkara ini menjadi tumpuan bukan sahaja pemimpin tertinggi, tetapi juga akar umbi.

Itu perkara yang menjadi tumpuan untuk PAU kali ini, berikut Majoriti senaraikan insiden menarik yang berlaku semasa perhimpunan parti yang sudah berusia 77 tahun.

mh_01_big-1

Mahathir letak jawatan.

Insiden ini antara yang paling bersejarah pernah berlaku dalam PAU 2002 kerana kejadian ini membuatkan satu Malaysia berada dalam kekecohan.

Ketika sesi ucapan penggulungan, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat satu pengumuman untuk meletak jawatan dan perkara itu disiarkan secara langsung di televisyen.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan peletakan jawatan saya sebagai presiden Umno dan semua jawatan yang dipegang oleh saya dalam parti, peletakan jawatan saya sebagai pengerusi Barisan Nasional (BN) dan semua jawatan dalam BN," katanya dalam nada sebak.

Perkara itu menjadi kecoh apabila Ketua Wanita, Datuk Seri Rafidah Aziz dan Ketua Pemuda, Datuk Hishammuddin Tun Hussein Onn bergegas ke arah presiden Umno itu, diikuti oleh lain-lain ahli-ahli Majlis Tertinggi yang berada di atas pentas.

Para perwakilan juga ketika itu bangun beramai-ramai dan melaungkan 'tarik balik' terhadap keputusan yang dibuat Mahathir itu.

Bagaimanapun, kira-kira pukul 7 malam, Timbalan Presiden Umno, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan yang Mahathir bersetuju untuk menarik balik keputusannya itu.

9d26358eaa3b162f9f32e3e0cca1fc7a

Datuk Onn Jaafar letak jawatan.

Sebelum Mahathir, sebenarnya ada pemimpin utama Umno yang meletak jawatan iaitu Datuk Onn Jaafar pada Persidangan Umno Semenanjung Tanah Melayu pada 1950 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur.

Beliau mengambil keputusan itu kerana kecewa apabila cadangannya untuk beri kerakyatan kepada orang bukan Melayu dibantah oleh ahli-ahli Umno.

Satu perarakan sebanyak 5,000 wakil-wakil Umno, pemuda Umno dan Kaum Ibu Umno pergi ke rumah Onn untuk merayu pemimpin itu menarik semula keputusan itu.

Onn menyatakan persetujuan dan menerima kembali jawatan Yang Dipertua Umno dengan syarat beliau tidak lagi dikritik.

Setahun selepas itu, Onn sekali lagi memberi cadangan untuk membuka keahlian Umno kepada orang bukan Melayu dan nama parti itu ditukar kepada United Malayan Organization.

Cadangan itu dibantah lagi oleh ahli-ahli dan kepimpinan Umno. Akhirnya, beliau meletakkan jawatan pada 26 Ogos 1951 dam kali ini tiada lagi drama 'pujuk memujuk' berlaku.

1895567

Anwar kembali selepas 25 tahun?

Tahun ini menyaksikan buat kali pertama dalam sejarah politik negara, gabungan parti yang bermusuhan selama ini berjabat tangan untuk membentuk kerajaan.

Ini juga bermaksud yang haluan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah kembali sehaluan dengan parti lamanya, Umno. Ini bermaksud, Anwar mungkin dijemput untuk hadir ke PAU 2022.

Namun, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan yang perhimpunan kali ini tidak akan menjemput perwakilan asing memandangkan banyak perkara berhubung kait dengan isu dalaman parti dan BN.

Keputusan itu bagaimanapun mungkin akan diubah bergantung kepada keputusan pimpinan tertinggi parti.

Jika Anwar dijemput, ini merupakan kehadiran yang pertama selepas 25 tahun individu yang pernah menjawat jawatan Timbalan Presiden Umno itu dipecat Mahathir atas kesalahan salah laku seks dan rasuah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram