Polis tidak jumpa kamera di 'fitting room', mungkin berlaku di lokasi lain


  • 112
  • Khamis, 12 Jan 2023

Orang ramai bimbang rakaman daripada kamera tersembunyi itu dijual dalam talian.

KES penyebaran rakaman kamera tersembunyi di bilik persalinan pusat membeli-belah terkenal di Kuala Lumpur mencetuskan kebimbangan orang ramai mengenai keselamatan dan privasi mereka.

Polis kini sedang menyiasat perkara terbabit berikutan laporan yang dibuat oleh H&M Malaysia.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pengurus keselamatan premis itu di Jalan Imbi, Kuala Lumpur membuat laporan polis pada Isnin selepas melihat mesej mengenai video itu tular di WhatsApp.

"Video berdurasi 11 saat yang dipercayai daripada kamera tersembunyi itu dimuat naik ke Twitter,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambahnya lagi, beliau telah menghantar anggota untuk melakukan siasatan di premis terbabit dan memberi jaminan akan memandang serius terhadap insiden itu.

“Kami menghantar kakitangan kami ke sana untuk menyiasat dan tidak menemukan kamera itu. Kami percaya ia berlaku di lokasi lain.

“Tetapi saya ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa kita memandang serius perkara ini dan akan menjalankan siasatan menyeluruh untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan,” ujarnya.

Noor Dellhan berkata, kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menghina kehormatan mana-mana wanita melalui perkataan, bunyi, isyarat atau objek.

H&M Malaysia bertindak membuat laporan polis selepas pengguna Twitter menyatakan kebimbangan bahawa rakaman yang didakwa daripada kamera tersembunyi dalam bilik persalinan itu dijual dalam talian.

“Keselamatan pelanggan adalah yang paling penting bagi kami. Laporan polis telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan.

"Kami telah menjalankan pemeriksaan ke atas semua bilik pemasangan dan sedang berusaha untuk memastikan tiada pelanggaran keselamatan yang akan menjejaskan privasi pelanggan kami," kata syarikat itu dalam satu kenyataan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram