POLIS menyiasat insiden seorang gadis berusia 14 tahun dipukul dengan rotan dan dibogelkan oleh sekumpulan rakannya di daerah Wakiso, Uganda susulan penularan rakaman video serangan itu di media sosial.
Timbalan Jurucakap Polis Metropolitan Kampala, Asisten Superintendan Luke Owoyesigyire berkata, siasatan sedang dijalankan untuk mendakwa suspek kejadian itu.
Dalam video yang dimuat naik di TikTok, kelihatan tiga remaja perempuan dan seorang lelaki menyoal mangsa berhubung dakwaan dia cuba merampas salah seorang kekasih rakannya.
Salah seorang gadis yang dipercayai kekasih lelaki terbabit dilihat menampar mangsa sebelum yang lain turut serta dalam pergaduhan itu.
Seorang lagi remaja yang berada di lokasi membuat rakaman insiden pergaduhan tersebut yang menerima kecaman hebat warga maya.
Menurut Luke, salah seorang pelaku sudah ditahan selepas ibu mangsa membuat laporan polis mengatakan anaknya mengalami kecederaan parah di badan.
"Setelah pemeriksaan fizikal dibuat, kami menyedari bahawa mangsa berada dalam kesakitan dan perlu diperiksa oleh pakar perubatan bagi mengenal pasti kecederaan pada badannya.
Pelaku (kiri) membogelkan mangsa (kanan) sebelum memukul dengan rotan. — Agensi
"Oleh itu, kami bersetuju untuk menahannya di pusat perlindungan sementara menunggu keputusan pemeriksaan daripada forensik," katanya.
Luke berkata, mangsa mengenali pelaku dan kenyataan tersebut direkodkan untuk membantu siasatan.
"Pada hari kejadian, mangsa dihubungi untuk pergi ke rumah rakannya yang kini dalam tahanan polis.
"Ketika tiba di rumah rakan tersebut, mangsa dipukul dengan rotan sebelum dibogelkan seperti yang kejadian tular di media sosial," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram