AKIBAT terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah di Sepang, Selangor, seorang pelajar mengalami kecederaan parah pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10 pagi, selepas mangsa ditemui terbaring berlumuran darah di bahagian kepala.
Menurutnya, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Putrajaya dengan ambulans pada pukul 10.25 pagi.
"Mangsa dalam kejadian ini adalah pelajar lelaki tingkatan tiga berusia 15 tahun.
"Tiada unsur jenayah dalam kes ini. Mangsa kini berada di Zon Merah Hospital Putrajaya dalam keadaan tidak sedar dan kritikal," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, pelajar terbabit mempunyai sejarah kemurungan, yang mana pihak sekolah sudah pun menyediakan beberapa sesi bimbingan kaunseling untuknya.
"Mangsa juga pernah menerima rawatan psikiatri di Hospital Serdang kerana memakan ubat sebanyak 38 biji.
"Salah seorang saksi juga menyatakan bahawa mangsa pernah mencalarkan tangannya di kelas dengan menggunakan pisau pemotong kertas di hadapannya," tambahnya.
Menurut jurucakap Hospital Putrajaya, pihaknya masih tidak boleh memberi sebarang kenyataan tentang perkara itu kerana berada dalam siasatan pihak polis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram