
TEMPOH tarikh luput vaksin Covid-19 yang digunakan di negara ini telah dipanjangkan susulan penemuan data baharu mengenai kestabilan vaksin itu oleh syarikat pengeluar, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
"Bila NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Negara) memberi kelulusan bersyarat, ada 'rolling submission' seperti data-data terkini diberikan, kita lihat vaksin tersebut lebih stabil.
"Jadi tarikh luput vaksin itu kami panjangkan walaupun pada botol dah kata luput, kami panjangkan dalam enam bulan ke setahun bergantung kepada data kestabilan yang kami terima dari syarikat pengeluar," katanya.
Pada November lepas, Dr Noor Hisham melaporkan NPRA telah meluluskan permohonan bagi melanjutkan tempoh luput vaksin CoronaVac dan Comirnaty, masing-masing bagi tempoh enam dan tiga bulan lagi berbanding tarikh asal yang dicetak pada label.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga KKM Dr Saidatul Norbaya Buang berkata, pada masa ini sebanyak 7,000 suntikan dos penggalak kedua diberikan kepada penerima setiap hari.
Beliau berkata, suntikan dos penggalak ditawarkan di 1,293 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara iaitu di 104 hospital KKM, 754 klinik kesihatan dan 435 PPV swasta.
Tambahnya lagi, individu dalam kumpulan keutamaan boleh mendapatkan vaksinasi tanpa janji temu atau secara ‘walk-in’ di hospital, klinik kesihatan atau PPV swasta, manakala kategori selain itu perlu membuat tempahan janji temu melalui aplikasi MySejahtera atau menelefon ke PPV swasta. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram