Suami isteri sangka boleh rawat sendiri anak melecur — Polis


  • 112
  • Ahad, 08 Jan 2023

Kertas siasatan itu akan diserahkan kepada AGC tidak lama lagi untuk tindakan lanjut.

POLIS sedang memuktamadkan siasatan terhadap ibu bapa seorang kanak-kanak yang tidak diberikan rawatan perubatan profesional selama lima hari selepas melecur teruk pada 30 Disember.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kertas siasatan itu akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak lama lagi untuk tindakan lanjut.

"Ibu bapa kanak-kanak itu berusia 33 dan 36 tahun dipanggil untuk disoal siasat Rabu lalu (4 Januari) dan dibebaskan dengan jaminan polis.

“Mangsa telah dirawat oleh pasukan perubatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan berada dalam keadaan stabil,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Johor, di Johor Bahru, Johor pada Ahad.

Ketika diminta menjelaskan alasan ibu bapa tidak membawa anak mereka ke hospital lebih awal, Kamarul Zaman berkata, ibu bapa kanak-kanak itu percaya bahawa dengan memberi anak mereka ubat dari farmasi sudah cukup untuk merawatnya.

“Berdasarkan siasatan kami, ibu bapa berpendapat ubat yang dibeli di farmasi itu mencukupi untuk merawat luka anak mereka,” katanya.

Pasangan itu ditahan pada 4 Januari.

Ketua Polis Daerah Pontian, Supritendan Mohammad Shofee Tayib berkata, mereka ditahan selepas laporan dibuat oleh ahli keluarga.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda tidak lebih RM20,000, atau kedua-duanya sekali apabila dijatuhkan hukuman. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Johor, Melecur, Rawatan, Akta Kanak -Kanak