BARU-BARU ini tular di media sosial berkenaan video yang memaparkan Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Ramzan dalam keadaan meradang kerana tidak puas hati dengan keadaan jalan raya di Hulu Langat.
Menerusi video tersebut, Sany yang menggunakan topang kaki selepas menjalani pembedahan di kaki kanannya dilihat begitu tegas mempertikai keadaan jalan rosak dan penuh lubang di Hulu Langat.
Dalam insiden itu, Sany dalam nada tegas bercakap kepada beberapa individu yang juga Jurutera Jalan Jabatan Kerja Raya (JKR).
"You turap mana? Nampak lubang itu, kalau motosikal lalu, boleh kemalangan.
"Kalau dalam tempoh seminggu tak siap, saya panggil sidang media. Konsultan saya hentam, JKR saya hentam. Saya pun dah cakap dengan menteri berkaitan jalan Hulu Langat," katanya menerusi video tersebut.
Bercakap mengenai perkara itu, Sany berkata, walaupun dalam keadaan sakit, dia perlu turun padang menyuarakan perkara itu kerana masalah tersebut melibatkan nyawa.
"Ini soal nyawa, berapa banyak penunggang dan pembonceng motosikal yang maut akibat terlanggar atau mengelak lubang.
"Kita tak mahu dengar sebab nyawa tidak boleh ditukar ganti. Kalau saya terpaksa bergaduh pun tak mengapalah kerana ini untuk rakyat.
"Alhamdulillah saya dengar susulan pertemuan itu, JKR pusat telah lakukan sesuatu," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, jelas Sany, kakinya yang sedang berbalut selepas menjalani pembedahan pada 13 Disember lalu tidak menghalangnya untuk bergerak dan meninjau keadaan bagi menangani masalah rakyat.
Jelasnya, walaupun dalam keadaan berkerusi roda sebelum ini, tugas dan fungsinya sebagai wakil rakyat tidak pernah ditinggalkan.
"Jika saya tidak dapat turun, pegawai-pegawai saya akan turun bantu termasuk di Pusat Khidmat Masyarakat yang sentiasa berfungsi walaupun tanpa saya," katanya.
Ditanya adakah aksi mengamuk itu sebahagian daripada strategi Sany untuk menyelesaikan masalah, jelasnya, dia setuju dengan perkara itu.
"Memang cara saya begitu, kalau bahasa lembut, itu bukan Sany," katanya.
Untuk rekod, Sany turut mengangkat sumpah di mejanya sebagai Ahli Parlimen kerana hadir dalam keadaan berkerusi roda.
Pemimpin Amanah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Templer memenangi kerusi Parlimen Hulu Langat atas tiket Pakatan Harapan pada PRU lalu dengan majoriti 14,896 undi.
Jumlah tersebut menewaskan calon Perikatan Nasional, Datuk Mohd Radzi Abd Latif dan calon Barisan Nasional, Datuk Johan Abdul Aziz. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram