DAFTAR Pemilih Tambahan Bulan November Tahun 2022 (DPT BLN11/2022) yang diperaku pada Khamis dan diwartakan pada Jumaat, kini dibuka untuk semakan selama 30 hari bermula Jumaat hingga 4 Februari.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan pada Jumaat berkata, DPT BLN11/2022 mengandungi 41,647 nama warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 30 November tahun lepas, yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.
Beliau berkata, ia turut melibatkan 23,557 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 4,174 pemilih bertukar status atau kategori pengundi.
Menurutnya, SPR menyediakan lima kaedah untuk semakan berkenaan iaitu menerusi portal SPR di https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my dan portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my.
Selain itu, katanya, semakan juga boleh dilakukan menerusi aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my, aplikasi mudah alih MySPR Semak dan Hotline Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-88927218.
"SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 30 November 2022 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status, agar menyemak nama mereka dalam DPT BLN11/2022.
"Sekiranya mendapati nama mereka tidak disenaraikan dalam DPT BLN11/2022, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan," katanya.
Ikmalrudin berkata, pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya, boleh mengisi borang D dan hadir ke pejabat Pilihan Raya Negeri.
Menurutnya, borang C dan borang D boleh dimuat turun daripada portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan perlu dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat di hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN11/2022.
Orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau hubungi SPR di talian 03-88927218 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri untuk sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan DPT BLN11/2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram