Tukang masak tiada dokumen sah didakwa bunuh pesakit mental


Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin, manakala 27 Februari tarikh sebutan semula kes. — Bernama

SEORANG tukang masak warga Bangladesh dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, Selangor pada Jumaat, atas pertuduhan membunuh seorang penghuni lelaki di sebuah pusat jagaan sakit mental di Bukit Beruntung, Disember lepas.

Tertuduh, Mohammad Abdul Alim, 33, didakwa membunuh Leong Kam Ming, 52, di sebuah pusat jagaan sakit mental, Jalan Cempaka 2, Bukit Beruntung, kira-kira pukul 6.30 petang pada 24 Disember 2022.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Mohammad mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib, yang bertindak sebagai Majistret, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Di mahkamah sama, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasuki dan berada di dalam negara ini tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah di lokasi sama, pada pukul 2.23 pagi, 27 Disember 2022.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan sebatan tidak lebih enam kali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 27 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendawa Raya Asmaa' Zamri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram