Mulut penuh disumbat tanah, penagih salahkan hantu bunuh anak 3 tahun di kebun ubi


  • Benua
  • Jumaat, 06 Jan 2023

Seorang kanak-kanak 3 tahun mati disyaki dibunuh oleh bapanya di sebuah kebun ubi kayu di wilayah Nakhon Sawan.

SEORANG penagih dadah ditahan selepas didakwa membunuh anak perempuannya yang baru berusia tiga tahun di sebuah kebun ubi kayu.

Lelaki yang dipercayai khayal dadah semasa kejadian menafikan dakwaan itu dan menyalahkan hantu atas kematian anaknya.

Dalam kejadian di wilayah Nakhon Sawan, Thailand pada 3 Januari lalu, polis mendapat makluman mengenai kematian kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Nareenan Pananon, pada pukul 5 pagi.

Pemeriksaan mendapati tiada sebarang luka pada badan mayat kanak-kanak tersebut tetapi mulutnya penuh disumbat dengan tanah.

Nenek mangsa, Anongnart Pananon, 55, memberitahu polis bahawa anak lelakinya, Ronnachai Pananon, 27 adalah pembunuh kepada cucunya itu.

Anongnart memberitahu, pada hari kejadian, Ronnachai masuk ke bilik ketika dia sedang tidur bersama cucunya itu.

323978269_549556867187151_2312419516607697411_n

Suspek ditahan ketika dia singgah membuang air kecil di sebuah stesen minyak di Chon Buri. — Agensi

Suspek meminta ibunya memeriksa bilik air kerana mendakwa paip rosak sebelum melarikan budak perempuan tersebut.

Wanita itu cuba mengejarnya namun terjatuh kerana keadaan masih gelap. Dia meminta tolong daripada jiran tetangga namun sudah terlambat.

Laporan Thairath menyebut bahawa Ronnachai bercerai dengan isterinya dan memiliki teman wanita baharu di Chon Buri.

Suspek ditahan di sebuah stesen minyak di Chon Buri selepas seorang pelanggan mengecam wajahnya yang disiarkan di televisyen.

"Suspek mendakwa dia ke kebun ubi kayu apabila terdengar bunyi aneh. Dia mendapati anaknya berada di kebun itu.

"Semasa mahu membawa budak itu pulang, ada gangguan makhlus halus menyebabkan dia lari dan meninggalkan kanak-kanak tersebut," kata polis ketika mengambil keterangan suspek.

Suspek akan didakwa di bawah Seksyen 288 Undang-undang Jenayah kerana membunuh dan berdepan hukuman mati atau penjara maksimum 20 tahun. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram