Kes inspektor suspek rogol gadis bawah umur, polis Kedah jamin siasat secara telus, adil


  • 112
  • Rabu, 04 Jan 2023

Wan Hassan berkata, kertas siasatan akan dirujuk kepada pengarah pendakwaan Kedah dan tiada kompromi terhadap salah laku polis.

POLIS Kedah komited untuk menjalankan siasatan secara telus, adil dan saksama terhadap seorang pegawai kanan pasukan itu yang didakwa merogol gadis dipercayai di bawah umur.

Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian rogol yang dipercayai berlaku pada 28 Disember 2022 pukul 6.25 petang.

"Seorang remaja perempuan mendakwa ada inspektor polis merogolnya di pejabatnya di ibu pejabat polis daerah Yan di Kedah.

"Gadis itu adalah pengadu bagi satu kes polis dan suspek kes ini adalah pegawai penyiasat kes berkenaan.

"Siasatan telah dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Wan Hassan berkata, suspek ditahan dan direman untuk siasatan lanjut sehingga 5 Januari.

"Jika didapati bersalah, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan," katanya.

Wan Hassan menambah, polis sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai agensi penguatkuasaan utama negara.

"Bagi memastikan kes ini diselesaikan secepat mungkin, siasatan dijalankan oleh pegawai kanan polis dari ibu pejabat polis kontinjen Kedah.

"Kertas siasatan akan dirujuk kepada pengarah pendakwaan Kedah dan tiada kompromi terhadap salah laku polis," katanya.

Wan Hassan menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh merosakkan keamanan dan kredibiliti polis serta mengganggu siasatan yang sedang berjalan.

"Orang ramai digalakkan memberi kerjasama dan membantu polis dalam usaha membanteras tingkah laku jenayah dengan memaklumkan sebarang maklumat melalui talian MERA 999 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram