Siri mesyuarat penting, pemimpin Umno tiba di WTC


  • Politik
  • Ahad, 20 Nov 2022

Umno berdepan dua siri mesyuarat penting pada Ahad.

BEBERAPA pemimpin Umno kelihatan tiba di ibu pejabat parti itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur bagi menghadiri beberapa siri mesyuarat termasuk mesyuarat Biro Politik Umno dan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno (MT) pada Ahad.

Antara yang kelihatan dan tiba seawal pukul 11 pagi ialah Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ahli MT, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Setiausaha Kerja Umno, Datuk Mohd Sumali Reduan.

Turut hadir Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar; Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said serta dua lagi Ahli MT iaitu Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi ciapan di Twitter beliau pada Sabtu memaklumkan parti itu akan mengadakan mesyuarat Biro Politik Umno pada Ahad, diikuti mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pukul 3 petang.

Turut dijadualkan berlangsung pada Ahad adalah mesyuarat Dewan Tertinggi BN pukul 8 malam.

Berdasarkan keputusan rasmi yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga 4.30 pagi Ahad, BN hanya memperolehi 30 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu menghormati keputusan rakyat dalam PRU15 serta menganggap ia satu isyarat besar kepada gabungan politik itu selain sedia menjadi jambatan bagi mengukuhkan hubungan baik antara semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata, pada masa sama, BN juga bersedia mengetepikan perbezaan sentimen sesama ahli parti sebelum ini dan dalam masa terdekat, akan memberikan tumpuan mengembalikan kekuatan parti terutama dalam menangani cabaran semasa serta lebih memahami keperluan generasi baharu.

Keputusan rasmi yang dikeluarkan SPR menunjukkan Pakatan Harapan (PH) memenangi 76 kerusi, manakala parti gabungannya DAP di Sarawak mendapat lima kerusi dan Muda menang satu kerusi, menjadikan keseluruhan 82 kerusi Parlimen diperoleh gabungan itu.

Gabungan Perikatan Nasional (PN) dan PAS pula memperoleh 73 kerusi Parlimen selepas masing-masing menang 51 dan 22 kerusi, diikuti Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Parti Bangsa Malaysia (satu) dan calon Bebas (dua). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram