[VIDEO] Sanggup bogel dan menyamar pakai tudung, wanita Rusia dakwa video ceroboh Menara Merdeka 118 tulen


  • Tular
  • Khamis, 05 Jan 2023

Perkongsian Angela Nikolau di Twitternya berhubung bagaimana dia menceroboh Menara Merdeka 118 baru-baru ini.

SEORANG wanita warga Rusia mendedahkan bagaimana dia berjaya menceroboh Menara Merdeka 118 untuk memanjat puncak menara berkenaan seperti yang tular baru-baru ini.

Wanita tersebut yang dikenali sebagai Angela Nikolau melalui Twitternya berkata, dia berjaya menceroboh menara itu dengan cara menyamar sebagai salah seorang pekerja kontraktor.

Dia yang menyifatkan dirinya sebagai “extreme roofer girl”, membuat satu ciapan pada 4 Januari bahawa dia menghabiskan beberapa minggu menjalankan pengawasan bangunan dari apartmen yang disewa berdekatan.

“Saya sewa sebuah apartment dengan pemandangan menara itu, jadi saya boleh jalankan pengawasan dan pemerhatian terhadap bangunan itu sebelum memasukinya,” ciapnya pada Rabu.

Tambahnya lagi, dia turut berdepan detik cemas apabila hampir tertangkap ketika sedang berehat.

“Saya jumpa tempat berlindung dalam kotak konkrit kecil di mana saya tidak dapat meregangkan kaki dan perlu habiskan masa lebih dari 20 jam di situ.

“25 jam kemudian, saya tiada makanan, minuman serta tidak tidur. Saya tak dapat regangkan kaki dan seluruh badan sakit. Nak menangis juga tak boleh kerana bimbang pekerja bangunan dengar tangisan saya,” katanya lagi.

Angela menyatakan dia akan memuat naik Non-Fungible Token (NFT) khusus untuk Menara Merdeka 118 pada Khamis.

"Saya mahu orang lain juga memiliki pencapaian seperti ini," jelasnya.

Baru-baru ini tular gambar pasangan itu, Ivan Beerkus dan Angela Nikolau dari puncak bangunan kedua tertinggi di dunia berkenaan dimuat naik di laman sesawang SkyscraperCity.com.

Difahamkan, wanita itu sanggup tidak berpakaian, selain menyamar memakai tudung gara-gara untuk menjayakan misinya itu.

Pada 29 Disember lalu, polis menerima satu laporan daripada pihak pengurusan Menara Merdeka 118 untuk tindakan lanjut mengenai kes pencerobohan pasangan dari Rusia yang dipercayai memanjat menara terbabit.

PNB Merdeka Ventures Sdn Berhad (PMVSB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung tindakan pasangan yang memanjat ke puncak Menara Merdeka 118. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram