‘PM Anwar ke Michael Chong pun tak boleh tolong’, gadis trauma diugut scammer


  • 112
  • Khamis, 05 Jan 2023

Taktik penipuan 'scammer' kian berlarutan dan golongan wanita sering menjadi sasaran si pelaku. — Gambar hiasan

SEORANG wanita yang diperdaya dengan taktik bayaran pinjaman palsu sebanyak RM2,500 berhadapan dengan tekanan apabila dia masih diganggu si penipu yang meminta wang tambahan.

Dalam sidang media yang diadakan di Kuala Lumpur pada Khamis, Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, mangsa berusia 25 tahun dikenali sebagai Wong pada asalnya hanya memohon pinjaman selepas menjawab iklan dalam talian pada awal Disember lalu.

Selepas menyerahkan butirannya dan slip gaji untuk pinjaman RM10,000, mangsa menerima mesej didakwa dari pihak bank tempatan yang menyatakan bahawa skor kreditnya terlalu rendah dan dia perlu memasukkan RM1,000 untuk menambah baik penilaiannya.

Perkara itu disampaikan menerusi seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Vivian.

Selepas berbuat demikian, mangsa sekali lagi diminta untuk mengirim lebih banyak wang bagi membantu penarafannya sebanyak RM1,500.

“Pada 16 Disember, wanita berkenaan diberitahu bahawa permohonan itu masih belum selesai dan mangsa kemudiannya membatalkan pinjaman itu kerana menjangka isu pinjaman tersebut telah diselesaikan pada mulanya,” katanya.

Namun, suspek kemudiannya menuntut bayaran pembatalan sebanyak RM1,600 yang enggan dibayar oleh Wong.

Susulan itu, Wong menghubungi pihak bank untuk bertanya mengenai status kemas kini pinjaman asal yang diberikan kepadanya, namun pihak pengurusan memaklumkan bahawa permohonan yang dinyatakan tiada dalam sistem mereka.

Nasib malangnya berterusan apabila suspek kemudiannya terus mengganggunya apabila kerap menghubunginya di tempat kerja.

“Panggilan diterima terlalu banyak sehingga mengganggu pejabat dan majikannya telah menamatkan pekerjaannya pada akhir Disember lalu. Si pelaku juga mengugut untuk mengutip bayaran daripada ibunya,” katanya.

Laporan polis telah dibuat oleh Wong pada 25 Disember namun suspek masih meneruskan kegiatan tersebut.

Dalam sidang media berkenaan, Chong menghubungi salah satu talian yang dipercayai milik suspek penipu terbabit di hadapan media.

Difahamkan, lelaki berkenaan pada mulanya menjawab panggilan itu, namun selepas Chong memaklumkan bahawa panggilan itu dibuat susulan aduan yang diterima, suspek terus berdiam diri dan berhenti menjawab.

Cubaan untuk menelefon semula nombor yang sama dengan telefon yang lain menemui jalan buntu.

Selepas sidang akhbar tersebut selesai, Vivian menghantar mesej kepada Wong dan mengatakan bahawa Chong mahupun Perdana Menteri sekali pun tidak akan dapat membantunya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram