
MAJLIS Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sedang menubuhkan dua lagi jawatankuasa bagi memastikan bandar raya itu memenuhi matlamatnya untuk menjadi sebuah bandar raya yang mampan dan berdaya tahan menjelang 2030.
Jawatankuasa itu adalah berkaitan undang-undang dan penguatkuasaan serta pembangunan masyarakat, kata Presiden MBPJ, Mohamad Azhan Md Amir.
"Kami mempunyai 13 jawatankuasa sebelum ini dan kini ia berjumlah 15. Ini adalah bagi mengikuti perubahan dalam tuntutan zaman.
"Kami juga telah menjenamakan semula beberapa jawatankuasa. Jawatankuasa pelesenan dan kesihatan kini akan menjadi jawatankuasa perlesenan dan pembangunan penjaja, manakala jawatankuasa kesihatan akan digabungkan dengan jawatankuasa pengindahan bandar," katanya selepas majlis angkat sumpah ahli majlis bandaraya untuk penggal baharu pada Khamis.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, majlis itu akan menguatkuasakan sistem parkir dua jam di Seksyen 52, sebaik sahaja ia diluluskan oleh kerajaan Selangor.
"Kami akan melaksanakan sistem parkir dua jam selewat-lewatnya bulan depan.
"Bagi ruang letak kereta, pemilik perniagaan sentiasa boleh mengemukakan permohonan kepada pihak majlis sekiranya ingin menyewa ruang tersebut.
"Tiada sewa 24 jam untuk tempat letak kereta tetapi ada had masa, dari pukul 8 pagi hingga 6 petang,” tambahnya.
Mohamad Azhan berkata, tiada sesiapa dibenarkan 'cop' tempat letak kereta dengan meletakkan meja dan kerusi di situ.
Apabila aduan dibuat, beliau berkata, majlis biasanya akan mengambil pendekatan yang lebih lembut terlebih dahulu dengan pemilik perniagaan sebelum penguatkuasaan dilakukan.
Seramai 24 orang mengangkat sumpah sebagai ahli majlis MBPJ pada Rabu, dengan dua muka baharu.
Salah seorang muka baharu adalah Yip Sean Yi, 25, graduan keadilan jenayah dan perhubungan antarabangsa, yang berkerjaya sebagai pemain golf profesional namun wabak Covid-19 menghalang kerjayanya.
Beliau kemudian bekerja untuk bekas Ahli Parlimen Damansara Utama, Tony Pua.
"Saya teruja dengan perkara yang berkaitan dengan perubahan iklim dan saya mahu memberi tumpuan kepada itu sebagai ahli majlis," katanya.
Seorang lagi muka baharu adalah Mohd Ikhsan Mohamad Din, 53, merupakan seorang pembantu stor dan ketua masyarakat yang aktif.
Sambil bekerja rapat dengan komuniti B40, beliau berharap dapat menjadi perantara yang baik antara penduduk dan majlis. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram