PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Februari pada Sidang Pertama Parlimen ke-15, tahun depan.
Mengesahkan perkara itu kepada Bernama, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul memaklumkan belanjawan itu akan dibentangkan Anwar yang juga Menteri Kewangan pada sidang Dewan Rakyat bermula pada 13 Februari.
"Ya benar, Bajet 2023 akan dibentang pada 24 Februari depan, secara keseluruhan, proses pembentangan bajet dan perbahasan termasuk urusan jawatankuasa serta dasar akan mengambil masa 21 hari.
"Notis Mesyuarat Pertama akan dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin untuk edaran kepada Ahli-Ahli Parlimen kelak,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Johari berkata, persidangan Dewan Rakyat dijadualkan bermula pada 13 Februari dengan istiadat pembukaan oleh Yang di-Pertuan Agong dan persidangan itu berlangsung selama 29 hari turut melibatkan urusan-urusan kerajaan yang lain.
Johari berkata, sidang Parlimen selama dua hari pada 19 dan 20 Disember lepas masing-masing bagi melaksanakan undi percaya terhadap Anwar bagi mengesahkan keabsahannya sebagai Perdana Menteri selain pembentangan peruntukan khas atau Bajet Mini.
Dewan Rakyat kemudiannya meluluskan peruntukan khas itu bagi tujuan perbelanjaan perkhidmatan membabitkan wang sejumlah RM107,718,676,650 merangkumi bayaran gaji kepada penjawat awam, utiliti, biasiswa, bantuan kebajikan serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan.
Sebelum ini, Belanjawan 2023 telah dibentangkan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri kesembilan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 7 Oktober lepas sebelum Dewan Rakyat dibubarkan 10 Oktober bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram