Diperdaya Datuk Seri, warga emas Batu Pahat kerugian RM426,450


  • 112
  • Sabtu, 22 Okt 2022

Warga emas tersebut ditipu menerusi panggilan telefon. — Gambar hiasan

SEORANG wanita warga emas di Batu Pahat, Johor diperdaya sindiket Macau Scam yang mendakwa mangsa terbabit dengan jenayah dadah dan menipu seorang bergelar 'Datuk Seri' sehingga akhirnya kerugian sebanyak RM426,450.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, mangsa berusia 73 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang individu Ogos lalu yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis.

Katanya, lelaki tersebut memberitahu mangsa mempunyai hutang bank, yang mana kemudiannya panggilan berkenaan disambungkan kepada ‘Datuk Seri’, selain menyatakan mangsa turut terbabit dengan kes dadah.

"Lelaki itu kemudiannya menawarkan bantuan kepada mangsa untuk menyelesaikan kes dengan membuat pembayaran ke nombor akaun yang diberikan oleh individu berkenaan.

"Mangsa yang percaya dengan dakwaan itu dan membuat pembayaran sebanyak empat kali menerusi mesin deposit tunai dan sekali pembayaran dalam talian dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM426,450,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Ismail berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

"Pihak polis menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali dan orang ramai juga perlu membuat semakan dengan pihak berkuasa yang berkaitan jika mempunyai sebarang keraguan," katanya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram