Fokus perkara lain, Tun M disaran tidak lagi terbabit dunia politik


  • Politik
  • Rabu, 28 Dis 2022

Dr Mahathir melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Pejuang baru-baru ini.

SETELAH beberapa penggal berada di dalam kancah politik, perjuangan Tun Dr Mahathir Mohamad seolah-olah terhenti apabila kecundang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bekas Perdana Menteri yang bertanding atas tiket Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di Parlimen Langkawi itu tewas di tangan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Suhaimi Abdullah yang memperoleh majoriti 13,518 undi.

Bukan itu sahaja, Pejuang juga gagal memenangi sebarang 125 kawasan yang dipertandingkan, malah ramai calonnya hilang wang deposit.

Tidak beberapa lama kemudian, Dr Mahathir mengumumkan berundur dari jawatan pengerusi Pejuang.

Namun, Presiden parti itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, Dr Mahathir masih kekal sebagai ahli parti tersebut, selain akan terus memberi pandangan membina dan kritis terhadap masa depan Malaysia sebagai seorang negara unggul.

1837269

Jeniri Amir

Mengulas mengenai perkara itu, Prof Madya Dr Jeniri Amir menyarankan Dr Mahathir supaya menumpukan perkara lain berbanding terbabit dalam politik, berikutan zaman kegemilangannya sudah pun berlalu.

Apatah lagi, penganalisis politik itu berkata, kekalahannya pada PRU15 membuktikan bahawa beliau bukan sahaja tidak diterima di peringkat akar umbi, malah juga tidak diterima di seluruh negara.

"Jadi, beliau perlu fokus kehidupannya seperti menulis buku sejarah yang merupakan salah satu kemahirannya.

"Ini lebih baik berbanding terus aktif yang menjadikan orang ramai tidak menghormatinya.

"Populariti dan perasaan hormat terhadap beliau sudah menjunam, yang mana orang lain tidak mahu menurut kata beliau kerana tidak relevan," katanya kepada Majoriti.

file7nokknb7dw4352hm6k7

Dr Mahathir dan isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali menunjukkan jari masing-masing selepas selesai mengundi pada PRU15 lalu.

Lantaran itu, Dr Mahathir dicadangkan untuk tidak perlu sibuk mengkritik pemimpin lain, termasuk membuat dakwaan bahawa, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.

Selain itu, Jeniri Amir menyarankan bahawa, Dr Mahathir perlu menyerahkan tugas pengerusi Pejuang kepada individu lebih berkelayakan.

Namun begitu, beliau turut berpendapat, Pejuang atau Gerakan Tanah Air (GTA) masih tidak diterima rakyat meskipun jawatan pengerusi sudah bertukar tangan.

"Lagipun Pejuang sebuah parti yang lemah dari segi akar umbi dan jumlah keanggotaannya.

"Mungkin anaknya, Mukhriz boleh menggantikannya, tetapi Mukhriz juga tidak mempunyai ketokohan dan daya kepimpinan menyerlah untuk mengisi kekosongan Tun M.

"Ini menyebabkan kedudukan parti itu semakin malap dan tiada masa depan umpama tiada cahaya di hujung terowong," tambahnya.

Sebelum ini, kekalahan pada PRU15 menyebabkan Dr Mahathir akur dan menerima pilihan rakyat dengan hati yang terbuka, malah beliau akan memberi tumpuan kepada bidang penulisan dan turut terbuka untuk ditemu duga penulis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram