Kerajaan patut tangguh Akta Kerja, ramai yang terkesan — Penganalisis


  • Massa
  • Rabu, 28 Dis 2022

Harga barang dijangka meningkat selepas pelaksanaan akta kerja baharu oleh kerajaan pada Januari 2023. — Gambar hiasan

PENGUATKUASAAN Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 yang akan dilaksanakan pada 1 Januari 2023 akan memberi impak negatif kepada orang ramai terutamanya melibatkan harga barang.

Antara yang akan berkuatkuasa di bawah akta tersebut adalah kadar tuntutan kerja lebih masa untuk gaji RM4,000 ke bawah.

Selain itu, pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,500 juga terdapat di bawah akta tersebut.

Pakar ekonomi, Prof Dr. Barjoyai Bardai berkata, pelaksanaan akta tersebut terutamanya melibatkan gaji hanya akan membebankan orang ramai.

"Pelaksanaan akta itu akan meningkatkan kos peniaga yang akhirnya akan dipindahkan bebannya kepada pengguna.

"Jika peniaga tidak mahu bebankan pengguna, mereka pula akan mengalami kerugian dan akhirnya terpaksa menutup perniagaan," katanya kepada Majoriti.

Office-goers stuck as heavy rain lashed Kuala Lumpur and suburbs on this morning. 13 July 2020 —CHAN TAK KONG/The Star

Pelaksanaan Akta Kerja hanya membantu segelintir kelompok pekerja sahaja.

Disebabkan itu kata Barjoyai, kerajaan sepatutnya menangguhkan dahulu pelaksanaan akta itu apatah lagi mereka mempunyai hak dan kuasa untuk berbuat demikian.

Jelasnya, kerajaan boleh memberi alasan untuk kaji semula pelaksanaan akta itu terutamanya bagi mengambil kira kedudukan peniaga, khususnya kecil dan mikro.

"Perniagaan runcit akan menjadi masalah besar sebab saingan yang sengit. Untung mereka kecil dan agak sukar untuk menyerap peningkatan kos yang akhirnya terpaksa dipindahkan kepada pengguna.

"Itu belum lagi peniaga yang cuba mengambil peluang untuk menambahkan keuntungan dengan lebih tinggi. Ini aspek-aspek yang sangat susah untuk dikawal dan perlu diberi perhatian oleh kerajaan," katanya.

Ujarnya, pelaksanaan akta tersebut memang bagus dengan matlamat utamanya untuk menolong golongan pekerja.

Tambah Barjoyai, kalau boleh biarlah pelaksanaan itu dilakukan dengan secara komprehensif yang memanfaatkan banyak pihak dan lebih menyeluruh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram