Hilang kepercayaan terhadap Mukhriz, Ketua Pejuang WP letak jawatan


  • Politik
  • Selasa, 20 Dis 2022

Khairuddin berkata, konsensus mesyuarat MPN Wilayah Persekutuan pada Selasa turut bersetuju membubarkan keseluruhan senarai Ahli Jawatankuasa yang dilantik oleh Ketua Negeri yang menganggotai MPN.

DATUK Seri Khairuddin Abu Hassan secara rasmi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan dan Ahli Majlis Eksekutif Pejuang (MEP) berkuat kuasa serta-merta, susulan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Presiden parti itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada Rabu.

Khairuddin turut mengumumkan pembubaran Ahli Jawatankuasa Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata tindakan itu berikutan peletakan jawatan Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 16 Disember lepas.

"Perjuangan saya dulu, kini dan selamanya hanyalah berteraskan paksi sokongan kepada Dr. Mahathir yang sentiasa kekal berprinsip serta tidak pernah menipu dalam mana-mana perjuangan untuk menegakkan kebenaran demi bangsa, negara mahupun agama.

"Saya hanya memberi perkhidmatan secara terbaik dan teramanah mungkin kepada Dr Mahathir, apabila peletakan jawatan beliau (Dr Mahathir) diterima Biro Politik Pejuang dan dimaklumkan pada mesyuarat MEP Pusat pada 15 Disember 2022, maka kini perkhidmatan saya dalam Pejuang sudah tidak relevan lagi,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pejuang yang diasaskan oleh Dr Mahathir ditubuhkan pada 12 Ogos 2020, berteraskan kepada prinsip menentang salah guna kuasa, korupsi, membangunkan negara dan kebahagiaan rakyat.

Khairuddin berkata, konsensus mesyuarat MPN Wilayah Persekutuan pada Selasa bersetuju membubarkan keseluruhan senarai Ahli Jawatankuasa yang dilantik oleh Ketua Negeri yang menganggotai MPN.

Khairuddin, 60, yang merupakan anak kelahiran Pulau Pinang itu mula bergiat dalam arena politik pada 2013 pernah memegang jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian dan Naib Ketua UMNO Batu Kawan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 baru-baru ini, Khairuddin yang bertanding di Parlimen Titiwangsa tewas kepada calon Barisan Nasional, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dengan hanya memperoleh 888 undi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram