Anwar peroleh sokongan majoriti menerusi undian suara, bukti keabsahan sebagai PM10


  • Politik
  • Isnin, 19 Dis 2022

Anwar (empat dari kiri) mendapat undian majoriti Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri.

AHLI Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya mengesahkan dirinya mendapat sokongan majoriti selepas pengundian dilakukan di persidangan Dewan Rakyat.

Usul percaya terhadap Anwar lulus dengan undian suara, bukan undian belah bahagi sekali gus mengekalkan jawatannya sebagai Perdana Menteri.

Usul undi percaya dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sebelum disokong, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Pembentangan usul undi percaya itu adalah bagi membuktikan keabsahan pelantikan Anwar yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 November lalu sebagai Perdana Menteri ke-10 mengikut butiran terkandung pada nombor lapan Aturan Urusan Mesyuarat.

Speaker kemudian meminta isu usul tersebut dibahaskan selama 10 minit bermula dengan Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Seterusnya 11 lagi Ahli Parlimen yang turut membahaskan usul itu ialah Lim Guan Eng (Bagan), Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Kota Bharu), Datuk Masir Kujat (Sri Aman), Datuk Seri Doris Sophia Brodie (Sri Aman), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (Beluran) dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Titiwangsa).

Turut membahas ialah Ahmad Fadhli Shaary (Pasir Mas), Rafizi Ramli (Pandan), Datuk Wan Saiful Wan Jan (Tasik Gelugor), Datuk Dr Jeffrey Kitingan (Keningau), Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau) dan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor).

Berlaku kekecohan ketika sesi perbahasan dalam kalangan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang akhirnya membawa kepada

Untuk rekod, ini bukan kali pertama usul undi percaya terhadap Perdana Menteri dibuat di Dewan Rakyat.

Perkara sama pernah dibuat sebelum ini, pada 27 Januari 1976 ketika bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn menggantikan Tun Abdul Razak Hussein.

Usul sama kali kedua berlaku pada tahun 2003, semasa zaman peralihan kepimpinan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram