Kes budak 4 tahun maut didera, tongkat motor dan batang besi antara barang dirampas


  • 112
  • Selasa, 27 Dis 2022

Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dilaporkan meninggal dunia dipercayai didera penjaga dan kakak kandungnya. — Gambar hiasan

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang dipercayai didera dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI), Batu Pahat, Johor Bahru, Johor petang Selasa.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kanak-kanak berkenaan dimasukkan ke hospital itu sejak 23 Disember lepas selepas dilaporkan pengsan di rumah rakan kakak kandungnya di Senggarang, Batu Pahat, pada petang Jumaat.

"Mangsa meninggal dunia pada 6.40 petang semalam setelah menjalani rawatan sejak 23 Disember.

"Proses bedah siasat terhadap kanak-kanak berkenaan akan dibuat pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Kamarul Zaman berkata, mangsa dijaga kakak kandungnya berusia 19 tahun setelah kedua-dua ibu bapanya dimasukkan ke penjara akibat kesalahan dadah sebelum diserahkan kepada rakan kakaknya.

Tambahnya, sehari selepas kanak-kanak itu dimasukkan ke hospital, dua lelaki dan tiga wanita telah ditahan termasuk kakak mangsa serta suaminya untuk siasatan lanjut.

"Kesemua mereka ditahan oleh pihak polis sekitar pukul 12 tengah hari hingga 9.45 malam,” katanya.

Selain itu, pihaknya turut merampas barangan yang disyaki digunakan untuk mendera mangsa antaranya pengecas telefon bimbit, sarung bantal, cadar, batang besi berukuran 29 inci, penyangkut baju, jaring penutup kipas dan batang besi penongkat motosikal.

Beliau berkata, kesemua individu terbabit direman selama tujuh hari bermula Ahad bersamaan 25 Disember hingga Sabtu, 31 Disember.

Kes berkenaan yang sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 telah diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan susulan kematian mangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram