Banjir Kelantan kian pulih, jumlah mangsa di 4 negeri kekal


  • Primer
  • Selasa, 27 Dis 2022

Situasi banjir di negeri Kelantan dilaporkan semakin pulih. — Awani

SUASANA banjir di Kelantan dilaporkan semakin pulih dengan bilangan mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan setakat pagi Selasa.

Jumlah mangsa di PPS Terengganu, Perak, Sabah dan satu daerah di Sarawak pula difahamkan tidak berubah.

Di Kelantan, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa banjir berkurang kepada 718 orang daripada 246 keluarga berbanding 1,235 orang daripada 428 keluarga malam Isnin.

Kesemua mereka ditempatkan di lima PPS di jajahan Pasir Mas dan Tumpat.

Sementara itu, di Terengganu pula Sekretariat JPBN dalam kenyataan memaklumkan, Besut merupakan satu-satunya daerah yang masih terjejas dengan dua PPS dibuka iaitu Masjid Kampung La yang menempatkan 126 orang manakala Balai Raya Kampung Pantai pula dengan 12 orang mangsa.

Jumlah mangsa 138 orang daripada 41 keluarga itu kekal seperti malam Isnin.

Di Perak, menurut Sekretariat JPBN jumlah mangsa banjir di daerah Hilir Perak kekal seperti Isnin dengan 62 orang daripada 14 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Abd Rahman Talib (SMART).

Dalam pada itu, mangsa banjir yang dipindahkan di Kota Belud, Sabah juga kekal 135 orang daripada 56 buah keluarga dengan PPS di Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan menempatkan 62 mangsa daripada 26 keluarga dan Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa pula menempatkan 73 mangsa daripada 30 keluarga.

Sementara itu, jumlah penduduk di persisir pantai di rumah atas air yang dipindahkan ke PPS Sandakan dan Pitas akibat fenomena air pasang besar juga kekal dengan 1,454 mangsa daripada 299 keluarga.

Sarawak kekal merekodkan jumlah mangsa banjir seramai 91 orang yang ditempatkan di PPS Dewan Masyarakat Kampung Lutong di Sebuyau dan Dewan Serbaguna Kampung Rimba Padi di Serian. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram