Fenomena air pasang, 38 lagi rumah atas air Kampung Forest musnah


  • 112
  • Isnin, 26 Dis 2022

SEBANYAK 38 lagi rumah atas air di Kampung Forest, Sandakan, Sabah roboh akibat fenomena air pasang sejak malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, sehingga 10 pagi Isnin, terdapat pertambahan jumlah rumah roboh akibat fenomena berkenaan kepada angka sah iaitu 70 yang direkodkan semalam susulan kejadian malam Sabtu lepas.

"Pada pagi tadi, kita kenal pasti sebanyak 38 buah rumah telah roboh, menjadikan jumlah keseluruhan 108 buah rumah.

"Kemudian, di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Anib 2 telah meningkat menjadikan jumlah 684 orang," katanya.

Abdul Fuad bersyukur, ramai penduduk yang tinggal di pesisir pantai akur kepada nasihat pasukan keselamatan untuk meninggalkan rumah pada Ahad sehingga tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Dia sekali lagi mengulangi nasihat sama kerana dijangkakan air pasang besar akan berlaku lagi malam ini.

"Sepertimana pada Ahad, kita telah plotkan beberapa kenderaan dan juga pegawai serta anggota untuk memindahkan lebih awal penduduk yang berada di perumahan pesisir pantai," katanya. — Bernama



-- BERNAMA





TAG: