SUSULAN bencana banjir yang melanda di negeri Terengganu baru-baru ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) giat menambah dan menghantar bekalan makanan serta keperluan harian ke depot mini di negeri terbabit sebagai persiapan menghadapi gelombang banjir seterusnya.
Timbalan Menterinya Aiman Athirah Sabu berkata, ia berikutan maklum balas dan rungutan yang diterima daripada segelintir mangsa banjir mengenai bekalan makanan dan keperluan harian yang lewat diterima mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) pada banjir kali ini.
"KPWKM ambil maklum ada beberapa isu kelewatan pengagihan bantuan keperluan harian dan bekalan makanan berlaku di beberapa kawasan luar jangkaan dan kita menunggu bantuan daripada pihak bomba dan juga Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta agensi lain untuk dibawa bekalan ke PPS sebab ada yang terputus hubungan.
"Bekalan memang mencukupi tetapi kita tiada aset kenderaan berat untuk menghantar bekalan ke kawasan terputus hubungan.
"Apa pun kita akan beri perhatian untuk penambahbaikan dari semasa ke semasa,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Sufi Eijaz ditemukan lemas pada 13 Disember lepas selepas terjatuh dari jambatan tali air di Kampung Kebor Besar, Manir.
Dalam pada itu, Aiman Athirah berkata, isu kelewatan bekalan makanan kepada mangsa banjir akibat ketiadaan aset berat juga telah dimaklumkan dan dibincangkan dalam peringkat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan penambahbaikan akan dilakukan bagi mengatasi masalah tersebut pada masa akan datang.
Beliau berkata, KPWKM juga akan melihat dan menyantuni sebarang keperluan yang perlu ditambah atau diberikan kepada mangsa banjir yang kini berada di PPS dari semasa ke semasa.
"Kita juga akan beri perhatian terhadap aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan kanak-kanak bagi memastikan anak-anak di PPS ini dalam keadaan selamat dan melakukan aktiviti yang bersesuaian,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram