LIMA daerah di Selangor melibatkan 472 kawasan akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 7 pagi, Sabtu, kata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).
Dalam satu kenyataan, Air Selangor berkata, gangguan air itu berlaku ekoran Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi dihentikan operasi buat sementara berikutan insiden pencemaran bau di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.
Menurut kenyataan itu, sebanyak 196 kawasan terjejas di Sepang, Petaling (172), Hulu Langat (54), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (27).
"Antara kawasan terjejas di Petaling adalah Bandar Baru Sri Petaling, Bandar Bukit Puchong dan Bukit Jalil manakala Hulu Langat termasuk Bangi, Rinching Hilir serta Beranang.
"Sepang meliputi Cyberjaya, Jenderam Hilir, Salak Tinggi, Taman Tasik Puchong, Taman Suria Tropika, Taman Desa Sentosa, Taman Indah KLIA, Taman Meranti Jaya dan Symphony Hills.
"Kuala Langat di Kampung Olak Lempit, Taman Seri Dagang serta Bandar Rimbayu manakala Putrajaya meliputi Presint 1 hingga 20, Taman Botani dan Dataran Putra," katanya.
Namun Air Selangor tidak menyatakan tempoh gangguan tersebut akan berlaku.
Tambah kenyataan itu, Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan insiden tersebut dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.
"Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.
"Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor," kata kenyataan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram