SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam parit tidak jauh dari rumahnya pada Khamis
Kejadian itu berlaku di Kampung Talaga Kecamatan Cikupa Kabupaten dekat Tangerang Banten, Indonesia.
Penduduk kampung yang dikenali sebagai Iwan berkata, budak malang tersebut kali terakhir dilihat sedang bermain basikal ketika hujan lebat.
"Kejadian berlaku kira-kira pukul 3 petang ketika hujan sangat lebat.
"Pihak operasi dan penyelamat (SAR) hanya menjumpai basikal mangsa di lokasi kejadian," katanya kepada media antarabangsa Detakbanten.
Jelas Iwan lagi, pada waktu kejadian, ibu kepada kanak-kanak tersebut berada di dalam kedai makan miliknya.
"Ibu kanak-kanak tersebut pada waktu itu sedang berada di dalam kedai dan sibuk melayan pelanggan sehingga dia tidak menyedari kehilangan anaknya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Badan Pencegahan Bencana (BPBD) Kabupaten Tangerang masih giat melakukan operasi SAR yang memasuki hari kedua pada Jumaat. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram