POLIS menahan tiga lelaki yang terlibat dalam kejadian pecah rumah milik kerabat diraja di Johor Bahru dekat Johor pada Khamis.
Ketua Polis Daerah, Assisten Komisioner Raub Selamat berkata, ketiga-tiga supek ditahan di rumah milik kerabat diraja Johor pada 11.40 pagi Khamis.
“Ketiga-tiga mereka ditangkap ketika cuba memecah masuk ke dalam rumah milik kerabat diraja berkenaan selepas penggera rumah berkenaan berbunyi.
"Dua lagi daripada perompak berkenaan berjaya melarikan diri.
“Kami juga berjaya merampas dua kenderaan, satu gergaji rantai, empat sarung tangan, tiga telefon bimbit dan wang tunai bernilai RM150,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambah Raub lagi, pemeriksaan latar belakang mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan negatif dadah.
“Kami sedang memburu dua lagi suspek dan orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini boleh datang ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan jenayah, yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM3,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram