"ARWAH anak baik dan selalu membantu saya dan adik-adiknya yang masih kecil," kata ibu kepada Muhammad Muizzuddin Hafiz, 22 tahun yang lemas di kawasan lombong Sri Kinta, Ipoh di Perak pada Ahad.
Maimunah Manshor berkata, arwah yang mesra dipanggil Along merupakan anak sulung dan seorang yang berpewatakan ceria.
"Saya ibu tunggal lima orang anak dan selama ini Along yang banyak membantu menguruskan hal di rumah seperti menjaga adiknya. Arwah juga anak yang rajin bekerja. Tiga hari sebelum kejadian, arwah banyak mendiamkan diri sedangkan dia seorang yang ceria,
"Apa yang meruntun jiwa saya adalah sehari sebelum kejadian Along masak sambal belacan dan bagi saya itu adalah sambal belacan paling special arwah pernah sediakan.
"Arwah turut menyuap saya dan itulah kali terakhir saya merasa suapan anak sendiri," katanya kepada Majoriti.
Jelas Maimunah lagi, dia mendapat berita kejadian berkenaan menerusi kawan arwah yang datang ke rumahnya.
"Rumah saya hanya dalam 300 meter dari kawasan lombong tersebut.
"Kejadian berlaku kira-kira pukul 11 pagi Ahad, kawan arwah sampaikan berita arwah lemas. Arwah sepatutnya menghantar saya pergi kerja pukul 12 tengahari.
"Saya bergegas ke tempat kejadian dan melihat orang awam cuba memberikan memberikan bantuan awal. Saya sendiri cuba memberi bantuan pernafasan tapi saya tahu masa itu arwah sudah tidak dapat diselamatkan lagi," katanya dengan hiba.
Maimunah turut merayu orang awam untuk berhenti menyebarkan video mangsa dan menghormati keluarganya.
"Arwah memang selalu memancing di lombong berkenaan dan ikan-ikan tersebut akan dijual untuk belanja saya dan adik-beradiknya yang lain. Dia juga bekerja secara sambilan di taman tema air Ipoh. Memang anak yang baik,"
"Ketika kejadian anak saya hanya ingin membantu kawannya mengambil joran yang terjatuh dalam lombong tersebut.
"Minta jangan ada yang aibkan anak saya atau mereka cerita macam-macam tentang arwah," katanya.
Sebelum ini, Majoriti melaporkan seorang lelaki lemas dipercayai terjatuh ketika memancing bersama kawannya di kawasan lombong Sri Kinta. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram