'Muka perongoih, mesti level Piala Dunia', lepas dapat pemain warisan, Penang FC sambar 4 tonggak import baharu


  • Podium
  • Jumaat, 23 Dis 2022

Giovane mempunyai karier tertingginya beraksi di dalam saingan divisyen dua Brazil bersama Remo pada tahun 2020. — Facebook/PenangFC

HARI demi hari Penang FC tampil membawa kejutan buat penyokongnya apabila dilihat aktif mengumumkan pemain baharu yang bakal memperkukuhkan pasukan Harimau Kumbang pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2023.

Selepas mengumumkan sembilan pemain tempatan baharu, skuad Haria Penang Haria memperkenalkan seorang pemain berdarah kacukan Malaysia iaitu Ryu Yamaguchi sebagai tonggak ‘import’ baharu mereka.

Berdasarkan pengumuman dari laman rasmi Facebook Penang FC itu pada Selasa, Yamaguchi difahamkan mempunyai darah Malaysia namun tidak dapat dipastikan sama ada dia didaftarkan sebagai pemain tempatan atau import.

Pemain berusia 22 tahun itu memulakan kerjayanya pada tahun 2013 apabila bersama Stoke City Football di Shanghai, China sebelum berkelana ke England bersama Brooke House College Football Academy Harborough serta CD Almunecar City di Granada, Sepanyol.

Bukan itu sahaja, Yamaghuci juga mempunyai pengalaman beraksi bersama skuad Malaga City FC di Sepanyol sejak tahun 2021.

WhatsApp Image 2022-12-23 at 15.52.46

Yamaghuci akan memperkukuhkan jentera pertahanan skuad Harimau Kumbang. — Facebook/PenangFC

Kedatangan pertahanan kental itu ke pasukan Harimau Kumbang itu disambut baik oleh penyokong dan mereka mengganggap dengan fizikal yang ada pada Yamaghuci boleh membuatkan pasukan lawan menggeruninya.

"Uish muka perongoih (muka ganas). Ini mesti corak permainan tahap Piala Dunia ini. Tak sabar nak tengok," kata penyokong Penang FC, Muhd Safwan.

"Gila-gila Penang borong pemain import," tulis penyokong Harimau Kumbang, Remy Saad.

"Ini baru padu!!! Nippon mari!!!," komen penyokong skuad Penang FC, Mohamad Fakhri.

Selain daripada Yamaghuci, skuad Penang FC turut membawa masuk empat tonggak import yang difahamkan akan menguatkan jentera serangan skuad Harimau Penang pada musim depan.

Wajah-wajah baharu Penang FC itu terdiri daripada Soony Saad (Lubnan), Curt Dizon (Filipina), Giovane Gomes dan Adriano Narcizo dari Brazil yang sebelum ini pernah menyertai pasukan Melaka United.

Dizon sebelum ini mempunyai pengalaman bermain di saingan liga divisyen satu Thailand iaitu bersama Chonburi dan pada Disember 2020, pemain berusia 28 tahun itu ditandatangani oleh Ratchaburi Mitr Phol.

Bagi penyerang dari Timur Tengah, Soony pula pernah melakukan 26 penampilan bersama skuad senior kebangsaan Lubnan dan menjaringkan tujuh gol peringkat antarabangsa.

WhatsApp Image 2022-12-23 at 15.52.47

Pemain kelahiran Brazil itu bukan sahaja bermain sebagai penyerang, malah boleh beraksi di posisi tengah. — Facebook/PenangFC

Adriano pula sebelum ini mempunyai pengalaman bersama skuad Melaka FC selama dua musim iaitu dari tahun 2021 sehingga 2022 dan merekodkan empat gol dalam 10 penampilan.

Tonggak import yang turut berasal dari Brazil, Giovane mempunyai karier tertingginya beraksi di dalam saingan divisyen dua Brazil bersama Remo pada tahun 2020, selain sempat berkelana di Liga M selama satu musim bersama pasukan Melaka secara pinjaman dari kelab Caxias iaitu pada tahun 2021.

Kemasukan empat pemain baharu ini akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Casagrande dan Hilal El-Helwe. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram